Mungkin ramai beranggapan industri tersebut kian malap seiring dengan peredaran masa dan penggunaan teknologi tinggi.

Di samping itu, terdapatnya kempen mengurangkan penerokaan kawasan hutan dan penebangan kayu-kayan negara menjadikan industri tersebut kelihatan tiada masa hadapan.

Pun begitu, menurut Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Dr. Mohd. Nor Zamri Mat Amin, industri perkayuan dan perabot terus menerus memberi sumbangan terbesar kepada pembangunan dan kemajuan sosioekonomi negara.

Ujarnya, permintaan perabot dan produk kayu tetap meningkat dan industri tersebut memerlukan lebih ramai tenaga mahir bagi memastikannya terus berkembang.

“Ramai dalam kalangan masyarakat hari ini tidak menyedari potensi industri perkayuan masih lagi luas dan besar,” katanya.

Cabaran utama dalam mengembangkan dan memastikan industri tersebut berkembang adalah untuk mendapatkan tenaga mahir dalam mereka bentuk dan menghasilkan perabot dengan baik.

Kerajaan menerusi agensinya, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sedar akan keadaan tersebut lalu menubuhkan WISDEC bagi mencari dan menghasilkan melalui latihan kemahiran teknikal dan vokasional.

Sejajar dengan perkembangan semasa, MTIB sentiasa memantau pelaksanaan strategi dan pelan tindakan yang telah digariskan di dalam Dasar Perindustrian Kayu Negara (NATIP).

Program pembangunan modal insan merupakan salah satu agenda penting dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Ia merupakan laluan penting ke arah melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi.

Sehubungan itu, sistem latihan kemahiran dan jalinan usaha sama dengan semua pihak perlu diperkukuhkan supaya lebih responsif dan menepati keperluan industri serta perkembangan ekonomi negara.

Dalam konteks industri perkayuan, pembangunan modal insan merupakan salah satu teras strategik dalam NATIP.

Aspek penting ini perlu diberi fokus oleh MTIB agar industri perkayuan negara berupaya mempertingkatkan produktiviti, kecekapan, produk berkualiti dan daya saing melalui tenaga kerja mahir.

Penumpuan harus diberikan kepada peningkatan pengetahuan, kemahiran, teknologi dan inovasi.

Sehubungan itu, keupayaan membentuk generasi muda atau belia tempatan yang berkemahiran tinggi perlu dipertingkatkan supaya sektor industri perkayuan.

Malaysia akan terus maju di pasaran global yang semakin mencabar.

Untuk memastikan industri kayu kayan sentiasa berdaya saing, sektor tersebut perlu peka terhadap pembangunan teknologi kerana teknologi memainkan peranan yang penting dalam peningkatan tahap persaingan.

Industri juga perlu sentiasa beralih kepada aplikasi teknologi yang lebih canggih, seperti menggunakan mesin berautomasi yang boleh meningkatkan pengeluaran, produktiviti serta berkemampuan mengeluarkan kualiti produk yang konsisten, di samping mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Dengan cara tersebut, Malaysia akan kekal berupaya menghasilkan produk bernilai tambah yang berkualiti melalui pemprosesan berteknologi tinggi dan memperoleh kedudukan yang teguh di pasaran dunia.

Proses transformasi daripada status pengilangan OEM (Original Equipment Manufacturer) kepada OBM (Original Brand Manufacturer) dan ODM (Original Design Manufacturer) turut dapat dipercepatkan.

Tambah Dr. Mohd. Nor Zamri, sejajar dengan hasrat peningkatan kemahiran dalam industri kayu, MTIB telah menubuhkan WISDEC.

Pusat tersebut juga bertanggungjawab dalam pelaksanaan program latihan belia, membantu pemindahan teknologi dan menawarkan khidmat nasihat teknikal dalam aspek yang bersangkutan dengan teknologi pengeluaran perabot dan produk kayu bernilai tambah,” katanya.

Semua program tersebut bermatlamat untuk menjadikan industri kayu sebagai yang kompetitif dengan pembangunan kemahiran modal insan.

Diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, WISDEC telah ditauliahkan sebagai salah sebuah pusat di bawah Pentauliahan Kemahiran Malaysia dan diiktiraf oleh City and Guild London of Institute dalam bidang pertukangan.

MTIB juga dilantik oleh JPK sebagai sebuah Badan Peneraju Industri (ILB) bagi pembangunan modal insan dalam industri perkayuan. MTIB bekerjasama

dengan semua penyedia latihan di peringkat sekolah, institusi latihan kemahiran sehinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi.

Bagaimanakah pusat ini melaksanakan pelbagai modul khususnya dalam melatih para belia berkemahiran tinggi dalam bidang berkaitan.

WISDEC telah mengambil langkah proaktif dan peka kepada perkembangan industri untuk merancang program-program latihan yang sesuai dan pelbagai modul latihan yang dibangunkan adalah berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang telah diiktiraf oleh JPK.

Di samping itu, WISDEC juga mendapatkan maklum balas daripada industri bagi menghasilkan modul latihan yang bersesuaian untuk melahirkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing serta mempunyai kelayakan dan kemahiran yang diiktiraf oleh industri.

Di samping itu, WISDEC juga telah melantik pakar industri yang diiktiraf sebagai tenaga pengajar untuk perkongsian maklumat dan pemindahan teknologi (TOT) kepada belia bagi melahirkan belia berkemahiran tingi berhubung pembuatan perabot.

Di peringkat antarabangsa, WISDEC telah melaksanakan banyak program latihan kepada peserta-peserta dari luar negara seperti Myanmar, Vietnam, Pakistan, Brunei dan lain-lain negara.

Dalam masa depan pada pandangan saya, diharapkan MTIB melalui WISDEC dapat memainkan peranan dengan lebih cemerlang dan progersif dalam aspek pembangunan modal insan untuk sektor industri perkayuan negara.

Diharapkan juga supaya WISDEC menjadi penyedia latihan yang mempunyai kepakaran yang tinggi dan menjadi tempat sumber rujukan dalam bidang berkaitan teknologi, reka bentuk perabot, pembangunan produk, pengurusan Pensijilan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan sebagainya.

Ini adalah kerana Malaysia merupakan antara pengeluar dan pengeksport produk kayu dan perabot yang terbesar di pasaran dunia.

Di samping itu juga, WISDEC perlu membantu industri dalam menghadapi cabaran dan perubahan globalisasi yang berlaku seperti Revolusi Industri 4.0.

Akhir sekali, WISDEC diharapkan dapat melatih serta melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir agar menjadikan kerjaya dalam sektor industri perkayuan sebagai kerjaya pilihan.

TPV perkasa pendidikan vokasional

Bagi meningkatkan jumlah tenaga mahir tempatan dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing di dalam industri ini, MTIB telah mengadakan kerjasama strategik dengan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) Kementerian Pendidikan (KPM).

Ia merupakan satu pendekatan kerajaan yang menepati Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Sebagai peneraju dalam sektor industri perkayuan negara, MTIB melalui WISDEC telah diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan bagi bidang pembuatan kabinet dan sambungan untuk melatih peserta negara ke peringkat antarabangsa seperti ASEAN Skills Competition (ASC) dan juga WorldSkills Competition (WSC).

Di bawah program Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV), ia bertujuan untuk mengarusperdanakan pendidikan vokasional agar setanding dengan aliran perdana.

Program tersebut berjaya mencorak landskap baharu kepada sistem pendidikan negara dengan berteraskan pencapaian kompetensi kemahiran dan akademik.

TPV bermatlamat melahirkan tenaga kerja separuh mahir dan mahir dalam bidang Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Kumpulan perintis pertama seramai 24 orang pelajar telah berjaya menamatkan program latihan kolej vokasional di dalam bidang teknologi pemprosesan perabot.

Program latihan tersebut memakan masa selama dua tahun di WISDEC Sabah iaitu dari tahun 2015 sehingga 2016.

Pelajar yang menamatkan program latihan ini akan mendapat empat sijil iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dari Jabatan Pembangunan Kemahiran, Sijil Foundation & Proficiency dari City & Guild, London, Sijil dari Kementerian Pendidikan Malaysia, dan Sijil daripada Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

Mampu bersaing dengan pasaran luar

Dalam menghasilkan modal insan terbaik bagi industri perkayuan dan perabot tempatan Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) tidak hanya menumpukan perhatian mereka di dalam kelas semata-mata.

Bagi memastikan anak didik WISDEC lengkap dari segala segi mereka didedahkan dengan pelbagai program luar seperti penyertaan dalam WSC (WorldSkills Competition) mewakili negara.

Menurut pakar perabot tempatan, Amri Mustaffa secara umumnya, penyertaan Malaysia dalam WSC merupakan landasan kepada peserta untuk bertanding, mendapat pengiktirafan dan menonjolkan bakat kemahiran di peringkat dunia.

“Malaysia telah menghantar dua orang peserta dalam bidang perkayuan ke pertandingan World Skills Competition 2017 di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi di Emiriyah Arab Bersatu pada 14 hingga 19 Oktober lalu.

“Peserta tersebut adalah Mohd. Izuwan Mat Rabi dari Institut Kemahiran Mara Sungai Petani dalam bidang pembuatan kabinet dan Amrul Ridwan Mohd Azam dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu dalam bidang sambungan,’’katanya.

Jelas Amri, kedua-dua peserta tersebut menjalani latihan intensif di bawah bimbingannya serta pakar sambungan (joinery) Saifol Azri Mohamad di WISDEC selaku pusat kecemerlangan (centre of excellence) dalam bidang perkayuan.

Mohd. Izuwan telah memenangi pingat Medallion for Excellence dalam pertandingan yang berprestij itu.

Beliau juga telah memenangi pingat emas dalam ASEAN Skills Competiton pada tahun lalu manakala Amrul Ridwan hanya mendapat sijil penyertaan sahaja.

Pada WSC 2015 yang diadakan di Sao Paolo Brazil, dua peserta negara telah memenangi pingat Medallion for Excellence iaitu Musalman Kamal dalam bidang pembuatan kabinet dan Lau King Hieng dalam bidang sambungan.

Jika dilihat daripada penyertaan peserta yang telah menyertai WSC, Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Kementerian Kerja Raya telah menetapkan pemilihan peserta yang akan mewakili negara adalah pemenang pingat emas dan perak di ASEAN Skills Competition atau pemenang dalam mana-mana pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang setara.

Oleh yang demikian, peserta yang terpilih mewakili Malaysia adalah terdiri daripada yang terbaik dan terampil cemerlang.

Peserta boleh mencapai anugerah tertinggi dalam pertandingan yang disertai sekiranya mereka menjalani latihan intensif di hab latihan kecemerlangan.

Ini membolehkan peserta menjalani latihan persediaan di institusi latihan yang mempunyai kepakaran dan peralatan bagi sesuatu bidang kemahiran selain melantik kumpulan pakar serta jurulatih bagi melatih peserta.

Peserta diberi peluang untuk menyertai latihan di luar negara contohnya negara pemenang pingat seperti Taiwan, Perancis, Korea dan Switzerland.

Selain itu, mereka turut diberi pendedahan dengan teknologi moden dan terkini agar dapat bersaing dengan peserta dari negara-negara maju lain.

Penyertaan dalam pertandingan peringkat dunia menunjukkan Malaysia mempunyai kepakaran dan kemudahan pendidikan teknikal dan latihan vokasional yang berkualiti tinggi serta mampu melahirkan tenaga kerja mahir.

Memandangkan WISDEC diiktiraf oleh City & Guild London of Institute dalam bidang pertukangan kayu dan perabot pada tahun 2014, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia MTIB selaku badan peneraju industri (ILB) bagi pembangunan modal insan dalam industri perkayuan telah merangka pelan strategi untuk menyertai bidang pertukangan dalam pertandingan WorldSkills Competition (WSC) 2021 di Shanghai, China.

Sebagai permulaan, MTIB akan membuat demonstrasi untuk memperkenalkan kembali bidang ini semasa pertandingan peringkat nasional iaitu WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2019.

Kini, MTIB menerusi WISDEC giat mengadakan kerjasama bersama Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan institusi latihan kemahiran yang menganjurkan program berasaskan kayu dalam pembinaan seperti Akademi Binaan Malaysia, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara, Pusat Latihan Industi Kayu Terengganu (TTITC) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi adalah perlu, bagi membantu Malaysia bergerak ke arah aktiviti bernilai tinggi, berintensifkan pengetahuan serta menuju ke arah negara maju.

Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan sentiasa menambah baik kecekapan pasaran tenaga kerja untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, memastikan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diterajui industri memenuhi permintaan pasaran, meluaskan pembelajaran sepanjang hayat untuk peningkatan kemahiran berterusan dan meningkatkan kualiti latihan.

Oleh yang demikian, untuk melahirkan usahawan muda dalam industri ini, MTIB bekerjasama rapat dengan industri, agensi kerajaan dan swasta.

Sebagai contoh, MTIB dengan kerjasama Persatuan Perabot Muar telah melaksanakan program Skim Usahawan Perabot Bumiputera (SuperBumi) bermula pada tahun lalu .

Objektif program itu adalah untuk meningkatkan bilangan penyertaan khususnya Gen-Y bumiputera dalam industri eksport perabot negara berkonsepkan 1Malaysia.