Selain Mohammad Shatar, turut menerima anugerah tersebut ialah bekas Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI, Datuk Dr. Noraini Idris dan Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara, Prof. Dr. Sopia Md. Yassin.

Turut menerima anugerah, Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Prof. Madya Zaharul Lailiddin Saidon; pensyarah Fakulti Sains Matematik, Dr. Rosly Jafar dan pensyarah kanan Fakulti Pembangunan Manusia, Dr. Siti Rahaimah Ali serta Fakulti Muzik dan Seni Persembahan.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Buruh dan Kebajikan Sosial Kosovo, Skender Recica.

IEA yang dianjurkan oleh Ink Media, Global Educators Association For Educational Research and Development telah berlangsung di New Delhi, India pada 19 Mei lalu dan majlis penyampaian anugerah diadakan di Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di sini, baru-baru ini.

IEA bertujuan menghargai usaha sumbangan golongan pendidik dan institusi pendidikan yang mahir serta telah mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan seterusnya menyumbang ke arah pencapaian masyarakat.

Sementara itu, Mohammad Shatar dalam ucapannya berkata, pengiktirafan tersebut memberi semangat kepada kakitangan UPSI untuk bekerja keras dalam usaha menjadikan institusi itu sebagai universiti pendidikan nombor satu dan unggul di rantau ini.

“Kami bekerja keras bagi meletakkan pelajaran sebagai agenda utama negara ini dan sudah tentu para guru memainkan peranan penting dalam memastikan ge­nerasi muda yang menjadi pe­mimpin masa hadapan akan dapat meneruskan kejayaan negara seperti yang dilakukan oleh pe­mimpin terdahulu.

“Hari ini kita menyaksikan enam daripada staf kita menerima anugerah kerana pencapaian mereka membawa pendidikan negara ke tahap tertinggi,” katanya.