Selain sambutan hari guru, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut mengadakan program Karnival Pendidikan yang akan berlangsung selama empat hari dan pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan peringkat negeri bagi menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, walaupun sambutan Hari Guru diadakan pada 16 Mei setiap tahun namun kali ini Melaka mengambil inisiatif mengadakan tiga program serentak selain beberapa perancangan aktiviti lain yang menjurus ke arah penghargaan dan pengiktirafan kepada warga pendidik.

“Kerajaan negeri akan sentiasa memberi tumpuan kepada kemajuan bidang pendidikan kerana ia merupakan satu pelaburan yang mesti dijana demi kelangsungan dan ketamadunan bangsa, negeri dan negara pada masa hadapan.

ZAINAL AMAN (kanan) menerima anugerah Tokoh Kepimpinan Guru 2019 manakala Busah Abu Bakar menerima a

ZAINAL AMAN (kanan) menerima anugerah Tokoh Kepimpinan Guru 2019 manakala Busah Abu Bakar menerima anugerah Tokoh Guru Melaka 2019 pada majlis Sambutan Hari Guru 2019 peringkat negeri, Karnival Pendidikan Melaka dan pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka, sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE/AZLI AHAD

“Selain menghargai jasa dan sumbangan para guru di Melaka, suka diingatkan bahawa guru kini berdepan dengan cabaran yang lebih besar pada zaman globalisasi dan ledakan teknologi maklumat,” katanya dalam teks ucapan perasmian sambutan itu yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Modal Insan dan Inovasi negeri, Noor Effandi Ahmad.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Saharidan timbalannya, Mohd. Rashid Mohd. Sidek.

Pada majlis itu, lebih 50 orang guru dari seluruh negeri menerima anugerah masing-masing atas pencapaian di peringkat sekolah, daerah dan negeri manakala dua bekas guru menerima anugerah Tokoh Kepimpinan Guru dan Tokoh Guru Utama 2019.

Zainal Aman, 66, bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Guru manakala bekas pendidik di Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Selandar, Busah Abu Bakar, 74, dianugerahkan Tokoh Guru 2019 Melaka. - UTUSAN ONLINE