MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri
ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI 

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, kegagalan peminjam tabung berkenaan membayar hutang bakal menjejaskan peluang para pelajar lain untuk mendapatkan bantuan berkenaan selepas ini.

Katanya, sebagai umat Islam selama mana seseorang itu membuat sesuatu janji untuk membayar hutang maka, hutang tersebut wajib dibayar walau dalam apa jua keadaan sekalipun berdasarkan kepada kemampuan masing-masing.

“Kita juga akan berkeluarga dan ada anak, cuba bayangkan anak kita satu masa nak minta PTPTN tetapi tidak dapat, macam mana keadaannya? Kita bayangkan juga bagaimana cucu kita tidak dapat PTPTN.

“Justeru sebagaimana Islam mengajar kita untuk membayar, maka sewajarnya kita bayar. Buatlah walaupun berdikit-dikit nescaya kesannya cukup besar dalam kehidupan kita InsyaAllah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Pengurusan Hutang Efektif Menurut Perspektif Islam sempena Karnival Kewangan Terengganu di Tabung Haji (TH) Hotel & Convention Centre di sini hari ini.

Berdasarkan laporan akhbar pada bulan lalu, seramai 362,000 daripada 1.9 juta peminjam tidak membayar pinjaman dengan jumlah sebanyak RM2.6 bilion sejak tabung berkenaan ditubuhkan 21 tahun lalu. - UTUSAN ONLINE