Selalunya, pada musim perayaan dan cuti umum pun bengkel dimiliki Ah Keong beroperasi seperti biasa. Begitu juga dengan musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Seperti biasa, sambil menunggu selesai urusan di bengkel itu, penulis memerhati aktiviti harian orang ramai di sekitar.

"Mari sini makan,"kedengaran pekerja wanita di restoran makanan Cina bersebelahan bengkel itu memanggil seseorang untuk menjamah roti yang sedang dimakannya. Kanak-kanak perempuan dalam lingkungan sembilan tahun yang sedang bermain dekat situ hanya menggelengkan kepala tanda menolak.

Kelihatan seorang wanita Melayu bertudung sedang tersenyum sambil memerhati kanak-kanak itu dari gerainya yang menjual buah-buahan di hadapan restoran berkenaan. Wanita itu adalah ibu kanak-kanak tersebut.

Untuk menghilangkan rasa bosan menemani ibunya di gerai, dia berjalan-jalan dan bermain di sekitar situ. Sambil bermain sendirian, kanak-kanak itu melayan usikan beberapa pelanggan restoran yang bertanyakannya itu dan ini. Terlintas di benak penulis, barangkali mereka pelanggan tetap restoran itu dan sudah mengenali kanak-kanak tersebut.

Menariknya, mereka fasih berbahasa Malaysia dengan kanak-kanak itu walaupun agak pelat sedikit. Namun kumpulan itu kemudiannya kembali berbual dalam dialek Mandarin sesama mereka.

Keadaan sebegitu bukanlah pelik, malah sebenarnya satu fitrah. Contohnya, jika saya berada dalam kalangan rakan-rakan Melayu, pastinya saya berbahasa Malaysia. Tetapi, ketika bersama-sama rakan-rakan yang berbahasa Arab, maka itulah bahasa yang kami tuturkan. Dan, jika bersama rakan-rakan etnik Cina atau India, kebiasaannya saya akan menggunakan dwibahasa, bahasa Malaysia dan Inggeris.

Malangnya, ada pihak-pihak tertentu yang beranggapan rakyat Malaysia yang berkomunikasi menggunakan bahasa asing ibarat tidak menghormati atau sudah melupakan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Salahkah jika bertutur dalam bahasa lain? Saya pasti, saat membaca soalan ini pasti akan ada yang menjawab: "Ya, salah. Sebab bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan".

Dek kerana bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan, adakah kita dilarang menuturkan bahasa-bahasa lain?

Penulis bangga dengan undang-undang kita yang sangat indah. Undang-undang kita tidak melarang mana-mana etnik menggunakan apa juga bahasa kecuali untuk urusan rasmi. Dengan kata lain, kita bebas menggunakan atau mempelajari mana-mana bahasa dalam urusan tidak rasmi.

Selain tidak melupakan bahasa ibunda masing-masing, ia sebenarnya dapat menggalakkan masyarakat berbilang kaum di Malaysia untuk mempelajari dan menguasai pelbagai bahasa. Namun, itu tidak banyak berlaku dalam masyarakat Melayu. Jika etnik lain di negara ini mampu menguasai bahasa Malaysia mengapa tidak sebaliknya dalam kalangan masyarakat Melayu?

Hakikatnya, kebebasan bertutur dan belajar bahasa di negara ini boleh mendatangkan manfaat kepada semua pihak.

Tidak rugi pun seandainya setiap rakyat Malaysia berusaha mengambil inisiatif untuk mempelajari dan menguasai bahasa-bahasa utama di negara ini termasuk bahasa Malaysia, Tamil, Mandarin dan Inggeris atau bahasa-bahasa sejagat yang lain. Bahasa-bahasa berkenaan adalah antara yang terpenting di persada dunia dengan jumlah penutur yang sangat ramai.

Seandainya saya mahupun anda yang sedang membaca artikel ini mampu menguasai bahasa-bahasa etnik lain, pasti lebih memudahkan dan mengeratkan lagi hubungan antara kaum. Dengan itu dapat mengelakkan timbul tuduhan semberono yang boleh menggugat perpaduan.

Memang benar, bahasa Malaysia itu bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan. Namun, bahasa lain juga boleh memupuk perpaduan kaum. Apabila lebih ramai rakyat saling memahami melalui penggunaan pelbagai bahasa, sewajarnya lebih mantap perpaduan, merapatkan jurang bahasa sekali gus akan saling menghormati.

Bukan itu sahaja, setiap keluarga di Malaysia tanpa mengira etnik sepatutnya menyanjung tinggi bahasa Malaysia tanpa mengetepikan bahasa etnik rakyat berbilang kaum di negara ini.

Menurut kajian pakar bahasa, terdapat lebih 6,500 bahasa di seantero dunia ini. Sekarang, penulis ingin bertanya, berapa banyak bahasakah yang telah anda kuasai daripada jumlah itu?

Saya ingin mengakhiri penulisan ini dengan memetik kata-kata penulis buku Percaya Sebelum Berjaya, Zuhairi Nopiah.

"Ilmu datang kepada mereka yang ingin tahu, hasil datang kepada mereka yang bertindak." - BERNAMA