Liew Chong Hui, 16, E. Thieban, 16 dan Muhd Zafrin Amirul Zabidin, 17 merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damai Perdana, Cheras.

Menariknya, selain kandungan video yang menepati tema perpaduan, penyertaan ketiga-ketiga mereka yang mewakili tiga bangsa utama di Malaysia turut selari dengan tema video berkenaan.

Tampil dengan nama kumpulan BDP Boys, tiga sekawan itu berjaya menghasilkan video yang berkisarkan dua rakan baik sanggup bersusah-payah demi membantu seorang rakan mereka yang miskin.

Chong Hui berkata, tempoh yang diambil untuk menyiapkan video pendek tersebut adalah selama seminggu di mana penggambaran dilakukan selepas waktu sekolah.

“Kami sendiri yang menghasilkan idea tersebut. Dalam masa sama, para guru dan rakan-rakan turut membantu bagi menghasilkan video berkenaan.

“Penggambaran dan suntingan video disiapkan dengan hanya menggunakan telefon pintar dalam masa seminggu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Pendek #muhibah Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Thieban, dia dan dua lagi rakannya turut merujuk video-video pendek dalam talian untuk belajar sudut penggambaran dan suntingan yang baik dalam sebuah video.

“Kami amat teruja apabila mendapat peluang menyertai pertandingan ini dan tidak menyangka berjaya meraih hadiah utama pertandingan video pendek #muhibah,” katanya.

Majlis tersebut turut menyaksikan tiga lagi pemenang utama iaitu kumpulan Convent Film Crew dari SMK Convent Batu Pahat, Johor, We Are The Best dari SMK Bandar T6, Johor dan Star Girls dari SMK Seksyen 16, Shah Alam.

Empat pemenang utama pertandingan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan tajaan Orando Holdings manakala 18 hadiah saguhati menerima langganan e-paper Utusan Malaysia selama setahun.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Unit Sektor Pembestarian Sekolah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Shaharizan Ibrahim.

Yang turut hadir, Wakil Orando Holdings, Joey Thum Pui Yee, Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah. – UTUSAN ONLINE