Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dengan kemudahan dan suasana pengajaran serta pembelajaran yang lebih kondusif telah berjaya menarik minat lebih ramai anak mereka untuk ke sekolah dan belajar di peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, perkara itu menjadi asas utama dalam transformasi pendidikan Orang Asli yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Kini terdapat 99 buah sekolah bagi komuniti itu di seluruh negara termasuk sebuah sekolah menengah dengan jumlah pelajarnya seramai 37,934 orang manakala tenaga pengajar seramai 329 orang.

“Terdapat lima buah sekolah kategori K9 yang menempatkan sekolah rendah dan sekolah menengah (tingkatan satu hingga tiga) dalam satu kawasan iaitu dua di Perak, dua di Pahang dan satu di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penye­rahan bangunan baharu Sekolah Rendah Sungai Berua di perkampungan Orang Asli Sungai Berua dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri, Dr. Ghazali Taib serta Timbalan Pengerusi Eksekutif T7 Global Berhad (T7 Global), Tan Sri Tan Kean Soon.