Pengetuanya, Fahrurrazi Ramdhan berkata, sasaran untuk memastikan golongan belia OKU mendapat pekerjaan dalam industri sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.

Beliau berkata, sasaran itu dapat dibuktikan apabila bekas pelajar sekolah tersebut berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan persekolahan, malah ada yang ditawarkan bekerja oleh pihak industri khususnya syarikat perhotelan.

"Selain itu, apa yang membanggakan kami ada sebahagian daripada bekas pelajar yang berkecimpung dalam bidang usahawanan selain menggunakan kemahiran yang diajarkan di sini untuk membantu perniagaan ibu bapa masing-masing.

"Kami juga sering mengadakan temuduga terbuka dan menjemput pihak industri untuk menemu duga pelajar bagi mengisi kekosongan di syarikat mereka," katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Fahrurrazi berkata, SMPKV Indahpura merupakan sekolah menengah vokasional pertama khusus untuk pendidikan khas yang menerapkan konsep latihan amali selain mendedahkan pelajar dengan suasana industri yang diceburi.

"Sebagai contoh, bagi bidang refleksologi kaki, tangan dan telinga yang menjadi bidang kebitaraan SMPKV Indahpura, kemudahan kerusi urut, sauna dan kelengkapan rawatan spa turut disediakan.

"Malah, lebih membanggakan SMPKV Indahpura dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menghasilkan produk herba daripada minyak kelapa dara dikenali sebagai Maria," katanya.

Mengenai SMPKV Indahpura,  Fahrurrazi memberitahu, sekolah berstatus kluster kecemerlangan ini menawarkan lima bidang utama teras utama pendidikan vokasional, iaitu perkhidmatan estetik (kosmetik), refleksologi kaki tangan dan telinga, dandanan rambut, penyediaan dan pembuatan makanan dan operasi pengemasan.

Menurutnya, kesemua bidang tersebut dikendalikan oleh guru-guru yang berpengalaman dalam bidang masing-masing dan lepasan pelajar daripada sekolah ini akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap tiga.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Bahagian Perkhidmatan Estetik, Rabitah Abd. Rahim memberitahu, antara cabaran yang dihadapi lepasan pelajar sekolah berkenaan adalah mengalami emosi yang tidak stabil apabila berada dalam pasaran pekerjaan.

"Ini mungkin disebabkan kurang keyakinan dengan kebolehan sendiri dan antara langkah yang diambil, kita adakan perjumpaan dengan majikan bagi memperkenalkan bakat, kebolehan, kemahiran serta kepintaran mereka.

"Berdasarkan kajian, daripada 40 pelajar yang menamatkan pengajian dan kemudian memasuki alam pekerjaan, hanya 10 orang yang mempunyai daya tahan ketika berada dalam alam pekerjaan. Ini disebabkan mereka mendapat sokongan daripada ahli keluarga terdekat, " katanya.

Rabitah memberitahu, selain bidang yang diceburi, setiap pelajar OKU tersebut mereka mempunyai potensi diri dan bakat yang tersembunyi termasuk dalam bidang sukan, muzik dan nyanyian sehingga ada yang mewakili negara dalam sukan boling.