Oleh itu, adalah amat penting bagi ibu bapa dan penjaga menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah pendidikan khas yang disediakan kerajaan sejak dahulu lagi.

Salah satunya adalah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Jalan Peel yang diwujudkan khusus bagi murid yang mengalami masalah pendengaran.

Guru Besarnya, Md. Hassan Mokhtar berkata, daripada 42 orang murid di sekolah tersebut, ada sebilangan kecil daripadanya mempunyai sisa pendengaran (resisual) dan mampu bertutur walaupun tidak jelas.

“Selain itu sebanyak tiga peratus murid-murid di sekolah ini bukan sahaja mempunyai masalah pendengaran, malah turut mengalami masalah pembelajaran.

“Bagi memastikan murid-murid istimewa ini mendapat pendidikan yang sempurna, kita menempatkan seorang guru dan pembantu di setiap kelas,” katanya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.

Mengulas mengenai program-program di sekolah tersebut, Md. Hassan berkata, sama seperti sekolah aliran perdana, SKPK Jalan Peel turut menjalankan pelbagai program untuk murid-muridnya.

Katanya, program seperti Kem Bestari Solat diadakan setiap tahun manakala bagi yang bukan beragama Islam, program Kem Sahsiah Kecemerlangan disediakan untuk mereka.

“Bagi program kecemerlangan, kita juga mengadakan Program Kecemerlangan Akademik kepada pelajar yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Bukan itu sahaja, di sini juga murid-murid didedahkan dengan aktiviti luar seperti baru-baru ini mereka menaiki bas ‘Hop-On Hop-Off’ agar mereka tidak kekok apabila berada di luar,” ujarnya.

Md. Hassan dalam hal ini menyarankan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang mengalami masalah pendengaran supaya menghantar mereka ke SKPK Jalan Peel.

“Mereka terlebih dahulu perlu mendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara melalui Unit Pendidikan Khas sebelum surat kemasukan ke sekolah ini dikeluarkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE