Video oleh WAHID HASHIM

Komitmen itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid secara rasmi kepada Pengarah Pendidikan dan Kemahiran dan Penasihat Khas kepada Ketua Setiausaha OECD, Andreas Schleicher hari ini.

Badan yang mengawal selia PISA, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) akan melakukan pensampelan tentang sekolah, guru dan pentadbiran berdasarkan kriteria tertentu, sebelum menentukan sekolah mana yang bakal menyambut program penarafan pendidikan antarabangsa itu.

Mahdzir ketika mengumumkan perkara itu di sini menegaskan apa yang paling penting ialah bagaimana PISA mempengaruhi pencapaian pelajar-pelajar dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

“Bagi guru pula, bagaimanakah pentaksiran (PISA) boleh membuatkan guru-guru kita memberi impak tinggi dari segi pengajaran dan pembelajaran serta kesannya terhadap kualiti kepemimpinan di sekolah.

“Pentaksiran itu dilaksanakan OECD, dan Malaysia menyertai­nya sejak pusingan pertama pada 2015 sehingga 2017,’’ katanya kepada wartawan Malaysia sebaik sahaja tiba di sini untuk menghadiri Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bermula di sini, hari ini.

Mahdzir diiringi pegawai ter­tinggi Kementerian Pendidikan diketuai Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu, Datuk Dr. Amin Senin serta beberapa pegawai kanan lain.

Mahdzir merumuskan, pertemuan itu membuahkan hasil yang sangat positif.

China, Indonesia, Filipina dan Singapura adalah antara rakan serantau yang menyertai PISA.

“Untuk tahun berikutnya, PISA akan bermula pada 2017 dan penilaian akan dibuat pada 2018 dan keputusannya pada 2019,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Dr. Amin di sini semalam.

Mahdzir memberitahu pemberita, PISA ialah penilaian penuh kepada sistem pendidikan di sesebuah negara, mencakupi guru yang mahir dalam pengajaran dan pembelajaran, pengli­batan penuh pelajar, pentadbir sekolah yang berkesan dan sarana komuniti.

Ujar beliau, OECD memberi penekanan bahawa setiap dasar yang dibuat oleh sesebuah negara ketika menerapkan PISA akan memakan masa yang panjang untuk melihat hasilnya tanpa tergesa-gesa. – UTUSAN