Apa yang membanggakan, Pe­ngerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, seramai 565 calon STPM 2016 memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 iaitu peningkatan sebanyak 0.51 peratus berbanding 335 calon pada 2015.

Beliau berkata, PNGK Nasional telah mencatatkan peningkatan daripada 2.65 pada 2015 kepada 2.71 (2016), manakala PNGK calon sekolah kerajaan juga didapati mengatasi PNGK Nasional iaitu 2.72.

Jelas beliau, bilangan calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas meningkat kepada 16,263 calon pada 2016 berbanding 14,263 calon (2015) sementara bilangan calon yang mendapat PNGK 2.75 ke atas turut meningkat daripada 20,359 orang pada STPM 2015 kepada 22,407 orang (2016).

“Dengan peratusan dan bilangan calon yang mendapat PNGK 3.50 ke atas dan 2.75 ke atas, saya menjangkakan peluang lepasan STPM 2016 untuk diterima masuk ke universiti awam adalah lebih besar,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan itu, di sini hari ini.

Seramai 43,235 calon telah menduduki STPM 2016.


Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL

Mohamed Mustafa berkata, seramai 11 calon mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil manakala bilangan calon yang mengambil lima mata pelajaran tetapi mendapat 4A pula adalah 47 orang.

Katanya, terdapat 517 calon mendapat 4A dalam keempat-empat mata pelajaran yang diambil, menjadikan jumlah keseluruhan calon yang mendapat 5A dan 4A dalam peperiksaan STPM 2016 meningkat kepada 575 orang berbanding 339 orang pada tahun sebelumnya.

“PNGK Nasional calon aliran Sains adalah 2.73, mengatasi calon aliran Sains Sosial 2.71, namun PNGK calon bagi kedua-dua aliran menunjukkan peningkatan yang sama iaitu sebanyak 0.07 mata berbanding PNGK STPM 2015,” katanya.