Video oleh FARID JANUDIN

Sekolah kawalan terdiri daripada Sekolah Rancangan Khas (SRK), Sekolah Elit, Sekolah Rancangan Khas Negeri (RKN), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan para pegawai di kementeriannya bagi membolehkan sekolah-sekolah kawalan tertentu menetapkan peratusan pengambilan pelajar kurang cemerlang dari kawasan berdekatan.

“Apabila disebut sekolah kawalan, satu standard ditetapkan untuk masuk ke sekolah jenis ini dan siapa yang nak masuk ke situ kena mencapai keputusan macam itu. Kadang-kadang ada pelajar (kurang cemerlang dan tinggal berdekatan) yang tak dapat ma­suk.

“Sebab itu kita minta mereka kurangkan kelayakan (beri kelonggaran). Kebanyakan sekolah jenis ini sudah established, kalau boleh mereka tak nak kawalan itu. Jadi saya dah bincang, sekolah tertentu kena ada peratusan untuk pelajar yang tinggal berdekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas merasmikan Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu (HuTeCS) dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Parlimen Hulu Terengganu di kolej itu di Kuala Berang di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Mahdzir berkata, peluang untuk belajar di sekolah kawalan seumpama itu perlu diberi kepada penduduk setempat supaya pelajar tidak perlu memasuki sekolah lain yang jauh dari tempat tinggal.