Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, sebanyak 20 video pendek telah tersenarai sebagai calon pemenang daripada lebih 100 penyertaan dari seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga video pendek akan dipilih sebagai pemenang bagi bulan Januari dan pemenang yang terpilih akan diumumkan pada hujung bulan ini.

“Berdasarkan video-video yang dihantar peserta setakat ini, mereka cukup berbakat dalam menghasilkan video. Dari segi ideanya, teknikal, tema, kreativiti, kandungan dan komunikasi yang ditampilkan, sangat profesional dan boleh dilihat peserta mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh.

“Cuma diharapkan bagi bulan-bulan akan datang, peserta perlu lebih mementingkan elemen ketulenan, elak daripada memplagiat karya orang lain dan gunakan idea sendiri bagi meneruskan kecemerlangan dalam memaparkan semangat muhibah antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi penjurian bersama-sama juri profesional, Azhari Muhammad Zain, juri jemputan, Mohd. Azemi Mohd., juri pemerhati, Shereen Ong dan enam juri dalaman Utusan Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Pertandingan yang ditaja oleh syarikat Orando Holdings Sdn. Bhd. itu berlangsung selama setahun dari 1 Januari hingga 31 Disember 2018.

Setiap bulan, setiap peserta yang dipilih sebagai pemenang akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.

Penyertaan adalah terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah dan peserta hanya perlu menghasilkan video berdurasi tidak lebih dua minit sebelum memuat naik video masing-masing di laman web YouTube.com.

Maklumat lanjut mengenai syarat dan borang penyertaan, layari laman web #muhibah mene­rusi alamat pautan www.muhibah.my.