Sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, Kuala Lumpur; SMK Tunku Putra Batu Pahat, Johor; SMK Sungai Besi, Kuala Lumpur; SMK Bandar T6, Kluang Johor dan SMK Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.

Ketua pasukan The Quad Squad yang mewakili SMK Seksyen 9, Shah Alam, Sharifah Nadira Syed Nurshadir berkata, dia dan kumpulannya langsung tidak menyangka usaha keras mereka menghasilkan video ini membuahkan khabar gembira.

“Disebabkan tema pertandingan ini adalah #muhibah, kami memilih untuk menghasilkan video stop-motion berkaitan perkauman dan cara-cara mengekalkan keharmonian kaum.

“Kami betul-betul tidak sangka menang dan kemenangan ini juga adalah hasil dorongan ibu bapa serta guru-guru yang selalu membantu kami dalam menjayakan projek video ini, katanya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.

Kesemua pemenang utama itu membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM1,000, Sijil pencapaian dan satu tiket masuk ke The Shore Oceanarium Melaka sumbangan The Shore Oceanarium Sdn. Bhd.

Dalam majlis yang sama, sebanyak 20 buah sekolah lain turut diumumkan sebagai pemenang saguhati yang membawa pulang satu akaun Langganan Akhbar Digital percuma selama setahun, tiket masuk ke The Shore Oceanarium Melaka dan Sijil Penghargaan.

Pertandingan hasil anjuran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad melalui Utusan Online dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Orando Holdings Sdn. Bhd itu bermula sejak 1 Januari sehingga 31 Disember 2018 dan terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah.

Dalam pada itu, Ketua Kumpulan Cupcake dari SMK Sungai Besi, Kuala Lumpur, Kintan Azolia Azil berkata, proses video yang dihasilkan bersama ahli kumpulan yang hanya mengambil masa satu jam itu langsung tidak dijangka meraih hadiah utama dalam pertandingan ini.

“Kami hasilkan video berkaitan dua orang pelajar lemah dan kemudiannya dibantu rakan-rakan sekelas bagi menggapai kejayaan bersama.

“Kami buat semua tu dalam masa satu jam sahaja dan proses suntingan hanya menggunakan aplikasi telefon pintar,” ujarnya.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembestarian Sekolah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pendidikan, Dr. Suhaimi Kadir; Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang II, Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan Wakil Orando Holdings Sdn. Bhd., Shereen Ong Chiew Sia. - UTUSAN ONLINE.