Naib Canselor merangkap Dekan Fakulti Perubatannya, Prof. Datuk Dr. Lokman Saim berkata, majlis konvokesyen tahun ini akan tampil sedikit berbeza dari segi penganugerahan peringkat pengajian serta meraikan kejayaan mereka yang menamatkan pengajian sebagai ambilan pertama dalam sesetangah bidang pengajian.

“Jumlah keseluruhan graduan tahun ini adalah 974 orang yang melibatkan empat buah kolej iaitu KPJ International College of Nursing and Health Sciences (KPJIC) di Johor Bahru dan Pulau Pinang; Malaysia College of Hospitality and Management (MCHM) serta KPJUC sendiri.

“Daripada kesemua graduan tersebut, 20 daripada mereka adalah graduan yang akan bergraduasi sebagai graduan ambilan pertama dalam bidang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Strategik dan Komunikasi Korporat (10 orang), Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan Sains (empat orang), Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi (empat orang) serta Ijazah Sarjana Muda Sains dan Industri Farmasi (dua orang),” katanya ketika ditemui di KPJUC Nilai dekat sini hari ini.

Jelas Lokman, kelainan Majlis Konvokesyen Ke-22 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu juga adalah satu hasil dan kejayaan daripada pelbagai penganjuran cemerlang berkaitan kursus-kursus yang bertaraf Ijazah Sarjana Muda, Sarjana serta Doktor Falsafah (PhD) yang digerakkan pelajar dan penyarah walaupun KPJUC baru sahaja berusia tujuh tahun.

“Dalam majlis itu, kami juga akan meraikan graduan pertama di peringkat Sarjana iaitu Sarjana Sains dan Teknologi Farmasi (dua orang) dan Sarjana Fisioterapi (empat orang).

Bercerita lanjut mengenai perkembangan pengajian perubatan KPJUC, Lokman memberitahu, KPJUC adalah satu-satunya istitusi pengajian perubatan yang mempunyai Fakulti Perubatan sejak 2012 yang tidak melahirkan para doktor, sebaliknya melahirkan pakar-pakar perubatan.

“Kita sedia maklum, para doktor sangat ramai dilahirkan dari pelbagai tempat pengajian. Tetapi dalam masa yang sama sebenarnya kita kekurangan pakar-pakar perubatan. Jadi di KPJUC, kami telah lahirkan pakar-pakar seperti Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Pakar Radiologi, Pakar Pembedahan Am serta pakar Ortopedik.

“Jadi bagi kami, usaha ini adalah sumbangan kepada negara untuk melahirkan lebih ramai pakar serta peluang untuk memanfaatkan kemahiran perubatan yang kami gerakkan ini kepada pembangunan pendidikan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE