Video oleh ASMA HANIM MAHMOOD

Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad berkata, ini disebabkan sikap orang Melayu sendiri yang tidak ambil peduli mengenai kepentingan mengangkat sejarah dan budaya bangsa.

Beliau berkata, masyarakat umum terutamanya generasi muda tidak sedar kehebatan orang Melayu sama ada dari sudut ilmu, persenjataan mahupun ekonomi kerana tiada usaha komunikasi atau penyampaian maklumat yang serius.

“Semasa kejatuhan Melaka dahulu penjajah merampas 54,431 kilogram emas bersamaan nilai RM2.6 bilion dari Istana Melaka yang menunjukkan kepandaian orang Melayu dalam bidang ekonomi tetapi malangnya berapa ramai yang tahu.

“Ada orang sangka Melaka jatuh kerana rakyat menggunakan keris dan lembing padahal semasa perang Ogos 1511 itu, panglima Portugis sendiri, Alfonso de Albuquerque membuat catatan bahawa orang Melaka menggunakan penembak tepat dan meriam untuk menyerang balas.

“Kehebatan kita seolah-olah hilang kerana kita gagal mengkomunikasikan warisan budaya bangsa menyebabkan generasi kini tidak tahu betapa hebat tamadun ditinggalkan nenek moyang kita, apabila mereka tidak tahu maka mereka tidak ada jati diri menyebabkan mereka mudah menerima dan memuja budaya orang lain, sebab itu kita lihat sekarang ini macam-macam berlaku di negara kita seperti LGBT dan liberalisme,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Ucaptama bertajuk ‘Komunikasi Warisan Mengungkapkan Warisan Bangsa’ di Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu (SALPBM) Kali Ke 10 di Hotel Perdana di sini hari ini.

Seminar dua hari bermula hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Seminar yang dihadiri 300 peserta termasuk dari Thailand, Indonesia dan Brunei itu anjuran bersama UPM dan DBP dan mendapat kerjasama dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK). - UTUSAN ONLINE