Atas kejayaannya yang cemerlang dengan mendapat enam A, Aliyah Maisara menjadi antara 500 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dan orang kelainan upaya (OKU) yang terpilih untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). 


Aliyah Maisara yang ditemui ketika penyerahan surat kemasukan ke MRSM Alor Gajah oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di rumahnya di PPR Jalan Jelatek hari ini berkata, tawaran tersebut sememangnya dinantikan beliau bagi menenuhi cita-citanya sejak dari kecil.

MRSM

“Saya bercita-cita untuk menjadi doktor pakar mata sebab mak ayah tak nampak. Saya sudah rasa macam mana mempunyai emak ayah yang tidak boleh melihat. Saya mahu menolong merawat mereka yang senasib dengan emak dan ayah.


“Tawaran ini memang saya nantikan. Saya pilih MRSM sebab ramai yang keluar dari sekolah ini berjaya dalam hidup. Kemudahan yang disediakan di MRSM juga lengkap selain suasana yang menyeronokan,” kata Aliyah Maisara yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.


Bapa Aliyah Maisara, Md. Akir Jaidin, 50 yang bekerja sebagai operator telefon, buta sejak lahir. Manakala ibunya, Paizul Mat Jari, 50 yang juga bekerja sebagai operator telefon, buta ketika dewasa.


Menurut bekas pelajar Sekolah Rendah Datuk Keramat 2 itu, rahsia kejayaan beliau ialah dengan memberi fokus sepenuhnya di sekolah dan di rumah hanya membuat ulangkaji. 


“Ibu bapa buta sebenarnya tidak menjadi penghalang untuk anak berjaya. Sebaliknya ia menjadi pendorong semangat untuk saya belajar dan mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.


“Memang niat saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan memberi kebanggaan dan membalas jasa kedua orang tua saya,” jelas Aliyah Maisara.


Sementara itu Paizul berkata, dia sentiasa mengingatkan anak-anaknya bahawa hanya dengan belajar mampu menjamin masa depan mereka.


“Saya juga ingatkan mereka agar jangan meninggalkan solat dan ingat masa depan. Sebab saya dan ayah mereka tidak mampu untuk memberi harta yang banyak. Kami hanya mampu menyekolahkan mereka,” kata Paizul.


MRSM

Untuk rekod kedua-dua anak Paizul dan Md. Akir turut cemerlang dalam pendidikan. 
 Anak pertama mereka, Fatin Nur Syafikat, 22 telah menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan di sebuah universiti swasta manakala anak kedua, Anis Rafidah, 20 masih lagi dalam pengajian di Universiti Malaysia Sabah.


MRSM memperuntukan 500 tempat bagi pelajar cemerlang dari keluarga kurang bernasib baik dan 7,000 lagi tempat untuk kemasukan pelajar ke Tingkatan 1 bagi kemasukan tahun 2017.


Sebanyak 64,484 permohonan diterima tahun ini dan status permohonan boleh disemak melalui portal rasmi Mara di www.mara.gov.my selepas 23 Januari.-UTUSAN ONLINE