Guru Kanan Mata Pelajaran Teknik dan Vokasional Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16, Mohamad Khamidon Sadi berkata, menerusi pertandingan itu, golongan pelajar akan lebih memahami dan menghayati maksud sebenar perpaduan kaum.

Menurutnya, pemilihan pelajar juga adalah tepat kerana golongan ini adalah generasi pewaris negara.

“Bagi saya program ini sangat baik untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.

“Ini kerana, melalui program ini pelajar akan membuat video pendek tentang perpaduan kaum sekali gus memerlukan mereka melakukan kajian dan akhirnya akan lebih jelas tentang perpaduan kaum,” katanya ketika ditemui sempena penataran video #muhibah 2018 di sekolah tersebut di sini hari ini.

Pertandingan Video Pendek #muhibah Utusan Malaysia-Utusan Online yang bermula 1 Januari lalu sehingga 31 Disember ini terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah secara percuma.

Antara syarat utama yang ditetapkan adalah pengguna­an bahasa Melayu serta perlu menyam­paikan mesej perpadu­an dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Empat video terbaik yang dimasukkan ke laman web www.muhibah.my akan dipilih sebagai pemenang bulanan yang menawarkan hadiah RM1,000 bagi setiap pemenang tajaan Orando Holdings.

Sementara itu, Eksekutif Pengurusan Jenama Utusan Melayu Berhad, Hazwan Hairul berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengadakan bengkel penataran video di lebih 20 sekolah sepanjang pertandingan ini berjalan.

“Bengkel ini bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan pelajar mempelajari cara membuat video pendek sekali gus meningkatkan lagi penyertaan ke pertandingan tersebut.

“Setakat ini kita telah pun ke lima buah sekolah di sekitar Lembah Klang dan apa yang menariknya tentang pertandingan ini ialah pelajar turut akan menerima sijil penyertaan, sijil penghargaan dan sijil pencapaian,” ujarnya.

Tambah Hazwan, pelajar yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh melayari laman web www.muhibah.my untuk keterangan lanjut.