Guru penyelaras Victoria Institution (VI), Siti Zaliha Mat Hassan berkata, pendedahan menerusi pertandingan seperti itu membantu pelajar memahami teknik yang betul dalam penyediaan video selain memberi pengetahuan yang baharu dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Pertandingan anjuran Kumpulan Utusan ini bukan sahaja satu perkongsian asas dalam penghasilan video berkualiti, namun menjadi nilai tambah kepada pengetahuan sedia ada.

“Penganjurannya merupakan usaha yang baik dan wajar dicontohi pihak lain kerana menyediakan platform kepada pelajar menyampaikan mesej perpaduan,” katanya selepas sesi Penataran Video #muhibah di sekolah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bengkel penataran dikendali oleh Penolong Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Mohamad Fikri Rosly.

Rata-rata pelajar yang ditemui melahirkan rasa teruja dan bersemangat untuk menghasilkan video pendek #muhibah, setelah diberi penerangan lengkap dan khusus tentang cara-cara pembikinannya.

Empat pemenang utama setiap bulan menerima wang tunai RM1,000 berserta sijil pencapaian dan langganan e-paper Utusan Malaysia selama setahun serta tiket masuk ke The Shore Oceanarium Melaka.

Dianjurkan sejak Januari lalu, pertandingan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan tajaan syarikat Orando Holdings Sdn. Bhd. akan berakhir pada 31 Disember nanti. Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pendidikan turut menyarankan agar pertandingan ini diteruskan pada masa depan kerana memberi banyak manfaat kepada pelajar sekolah menengah.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembestarian Sekolah BTP, Dr. Suhaimi Kadir berkata, pelajar mula kenal serta semakin tertarik dengan video pendek #muhibah selain menjadi inisiatif dalam memupuk perpaduan.

Penyertaan terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan mereka hanya perlu menghantar video pendek dengan penerangan tidak lebih 150 patah perkataan dalam bahasa Melayu dengan memuat naik video menerusi alamat pautan www.muhibah.my.