Pelantikan oleh UUM bagi tempoh dua tahun bermula 1 Februari lalu hingga 31 Januari 2019 itu dibuat berdasarkan pengalaman, kepakaran serta kesesuaian bidang yang diceburi Chef Wan dalam bidang masakan.

Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, pelantikan itu membolehkan beliau berkongsi pengalaman, memberi nasihat dan bimbingan kepada pensyarah serta pelajar melalui program syarahan Profesor Adjung seminar dan perjumpaan.

“Saya yakin Chef Wan yang memperoleh ijazah dalam Latihan Profesional Chef dan Pengurusan Hotel di California Culinary Academy di San Francisco, Amerika Syarikat serta diploma dari Hotel Ritz, Paris dapat membantu UUM lebih cemerlang dalam bidang akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Pengasasan ke-33 dan Pelantikan Profesor Adjung Baharu di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Pengarah The Japan Foundation, Horikawa Koichi di Kuala Lumpur menjadi pengunjung bertuah telah dipilih sebagai pengunjung ke sejuta Discover UUM 2016. - UTUSAN ONLINE