Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembestarian Sekolah BTP, Dr. Suhaimi Kadir berkata, pihaknya berharap penganjur dan penaja pertandingan, Orando Holdings Sdn. Bhd. dapat meneruskannya kerana pelajar mula kenal serta semakin tertarik dengan video pendek #muhibah.

“Kementerian Pendidikan menerusi BTP memberi kerjasama penuh dalam menjayakan pertandingan itu kerana dapat mencungkil bakat, menggalakkan persaingan sihat dan memberi pendedahan serta meningkatkan kemahiran penghasilan video,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah pertandingan itu bagi bulan Februari dan Mac di Dewan Utusan, Ibu Pejabat Kumpulan Utusan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan wakil Orando Holdings Sdn. Bhd., Shereen Ong Chiew Sia.

Lima pemenang utama ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, Kuala Lumpur; SMK Tunku Putra Batu Pahat, Johor; SMK Sungai Besi, Kuala Lumpur; SMK Bandar T6, Kluang Johor dan SMK Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.

Kesemua pemenang utama itu membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM1,000, Sijil pencapaian dan satu tiket masuk ke The Shore Oceanarium Melaka sumbangan The Shore Oceanarium Sdn. Bhd.

Dalam majlis yang sama, sebanyak 20 buah sekolah lain turut diumumkan sebagai pemenang saguhati yang membawa pulang satu akaun langganan Akhbar Digital Utusan Malaysia percuma selama setahun, tiket masuk ke The Shore Oceanarium Melaka dan Sijil Penghargaan.

Pertandingan anjuran Utusan Melayu (Malaysia) Berhad melalui Utusan Online dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Orando Holdings Sdn. Bhd itu bermula sejak 1 Januari sehingga 31 Disember 2018 dan terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah.