Jika bangsa Yahudi yang hanya berjumlah 7 juta orang di seluruh dunia dengan populasi tidak sampai 2 juta di bumi Baitulmuqqadis, bangsa ini telah mempunyai pusat yang menjaja perjuangan mereka untuk menguasai Baitulmuqqadis.

Penjajaan perjuangan dan agenda mereka dilihat dan diterima oleh dunia sehingga Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan Baitulmuqqadis adalah milik Yahudi.

Pengumuman itu menyingkir dua golongan Palestin kerana bangsa Palestin, selain daripada orang Islam, juga terdiri daripada mereka yang beragama Kristian.

Maka itulah, perlu dan penting dibuat kajian dan penyelidikan dalam kalangan scholar atau Sarjana supaya para cerdik pandai Islam dapat mempertahankan hak orang Islam Palestin di Baitulmuqqadis.

Sejajar dengan situasi dan kemelut Islam Palestin di Baitulmuqqadis yang tiada penghujung, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerbitkan Monograf Baitulmuqqadis, Islamic Jurusalem Studies, Introducing the new terminology of Islamic Jurusalem and its field of inquiry yang ditulis oleh Prof. Dr. Abd. Al-Fattah El-Awaisi.

Monograf tersebut dilancarkan hari ini oleh pencetus idea, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak hari ini.

“Bukan mahu jadi jaguh dalam kalangan universiti di Malaysia mahupun di Asia Tenggara tetapi 10 mahaiswa yang mengikuti pengajian peringkat Sarjana di Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmuqqadis (IEIJS), UUM, boleh menjadikan Monograf Baitulmuqqadis ini sebagai rujukan mereka.

“Ia ditulis dalam bahasa Inggeris dan diterjemahkan ke bahasa Arab, memberi pemahaman kepada mahasiswa kita untuk mengetahui terminologi Islamic Jurusalem atau Islam di Baitulmuqqadis dari tahun 1994,” katanya ketika ditemui usai majlis Minum Petang dan Pelancaran Monograf Baitulmuqqadis IEIJS di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah IEIJS, Dr. Amirruraasyid Yatiban dan Prof. Dr. Abd. Al-Fattah El-Awaisi manakala Kumpulan Utusan Melayu sebagai media rasmi.

Dr. Mohamed Mustafa berkata, isu Palestin bukanlah isu ataupun masalah rakyat Palestin sebaliknya ia adalah isu antarabangsa yang mencakupi kemanusiaan.

“Penting untuk didokumentasikan dan diberikan takrifan Baitulmuqqadis dan Islam Baitulmuqqadis atau Islamic Jurusalem supaya apabila isu ini berterusan di bawa ke peringkat antarabangsa, ada maklumat dan fakta untuk dipertahankan Islam Palestin.

“Memanglah kita tahu Baitulmuqqadis milik orang Palestin, tetapi apabila bangsa Yahudi memiliki bumi itu dan jika anda bukan bangsa Yahudi, anda tiada hak untuk berada di bumi itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE