Guru Penyelaras Perpustakaan dan Media, Sekolah Kebangsaan (SK) Pendang, Marziana Kasim berkata, ‘utusan emas’ ini membolehkan guru dan murid mendapat maklumat serta pendedahan terperinci mengenai PAK-21 dalam bentuk bahan pembelajaran di dalam bilik darjah dan juga aktiviti pada perhimpunan mingguan.

“Pihak pentadbiran sekolah te­lah bersetuju melaksanakan Modul 10 Minit dalam perhimpunan pagi pada setiap Isnin sebagai aktiviti PAK-21.

“Modul yang dicetak pada Utusan Pelajar itu akan menyemarakkan penerapan budaya dan kemahiran PAK-21 dalam kalangan guru serta pelajar sebelum proses pembelajaran dan pengajaran bermula,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penye­rahan langganan Utusan Pelajar berjumlah 5,292 naskhah setahun di sekolah itu di Pendang, Kedah, baru-baru ini.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim kepada Guru Besar SK Pendang, Nur Raimi Leong Abdullah sempena jerayawara Utusan Pelajar ke utara tanah air baru-baru ini.

Selain SK Pendang, jerayawara ini turut ke SK Sungai Seluang, Kulim yang melanggan 5,880 naskhah setahun, Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah, Alor Setar (2,730 naskhah setahun) dan SK Dato’ Wan Ahmad, Kangar (1,680 naskhah setahun).

Utusan Pelajar adalah akhbar pendidikan yang direka agar menepati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mengutamakan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam pembelajaran.

Diterbitkan setiap Isnin de­ngan harga RM1, Utusan Pelajar mengandungi bahan bacaan luas mengikut topik PAK-21 untuk semua pelajar sekolah sama ada rendah atau menengah dan me­rentas mata pelajaran.

Oleh itu, sekolah rendah dan menengah di seluruh negara disa­ran melanggan Utusan Pelajar bagi menyemarakkan pembelajaran dan pemudahcaraan dengan infrastruktur sedia ada di dalam bilik darjah.

Untuk maklumat lanjut hubu­ngi, Fauzi Hamdan di talian 019-5716282.