Rekod itu bukan sahaja melibatkan penyertaan seluruh Malaysia bahkan orang ramai di benua Eropah menerusi program Inspirasi Merdeka @ Trans-Aronia.

Pengarahnya, Shafeqa Ameera Jufri berkata, program bermula pada 27 Julai di seluruh negara turut tersebar ke benua Eropah sebelum berakhir pada 30 Ogos lalu di sekitar Lembah Klang.

“Ketika di Malaysia kami berjumpa dengan pelajar di sekolah dan peringkat institusi pengajian tinggi untuk mendeklamasikan sajak serta membaca pantun seiring dengan tema ‘Inspirasi Merdeka’.

“Manakala di luar negara kami pasang kain rentang dan mengajak orang tempatan membuat perkara sama. Mereka rata-rata seronok dengan aktiviti itu,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Azman Hashim, UTM di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 500 sajak dan 300 pantun bertemakan patriotik dibawa sepanjang penjelajahan tersebut bersama 11 pelajar universiti tersebut.

Dalam pada itu Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Datuk Dr. Wahid Omar berkata, program tersebut menunjukkan universiti ini bukan sahaja institusi yang membentuk pelajar mahir malah mampu memenuhi kehendak pasaran secara keseluruhan.

“Mereka adalah penanda aras UTM yang menunjukkan pelajar di sini boleh keluar daripada zon keselesaan belajar dan mencuba perkara lain,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE