Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, perkara itu adalah antara yang ditegaskan dalam pertemuan antara pihak USIM dengan Atase Kebudayaan Kedutaan Oman, Salam Yahya Al Mandhari di Kuala Lumpur hari ini.


Menurut beliau, pertemuan itu diadakan susulan tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi Oman melarang pelajarnya melanjutkan pengajian di empat universiti di negara ini termasuk USIM baru-baru ini selepas menerima pelbagai aduan daripada pelajar.


“Masalah timbul berpunca daripada pihak yang tidak bertanggungjawab ini sehingga mendatangkan kesulitan kepada USIM dan pelajar Oman yang terlibat.


“Siasatan dalaman sedang dijalankan untuk mengenal pasti pihak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Menurut Musa, hasil pertemuan itu, pihaknya juga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan disertai wakil Pejabat Atase Kebudayaan Oman bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit antara kedua belah pihak dengan segera.


Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Tinggi Oman melarang pelajarnya melanjutkan pengajian di empat universiti tempatan selepas menerima aduan berhubung masalah melibatkan akademik dan pentadbiran di institusi terbabit.


Ini termasuklah dakwaan tidak mematuhi beberapa undang-undang seperti pendaftaran pelajar dan membenarkan pelajar menggunakan visa pelancong. - UTUSAN ONLINE