Ia terdiri daripada 301 pelajar lelaki dan 637 pelajar perempuan yang telah selesai mendaftar pada semalam (Rabu) yang bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Selesai pendaftaran akademik dan kolej kediaman, para pelajar ini terus mengikuti pengisian Program Hari Taaruf yang dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar sehingga Jumaat.

Pada sebelah pagi tadi telah diadakan Majlis Amanat bersama Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad diikuti dengan Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Tamhidi dihadapan Pengurusan Tertinggi Universiti. 

Naib Canselor dalam ucapan mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang terpilih ke Tamhidi kerana jumlah permohonan yang diterima amat tinggi saban tahun.

Tamhidi USIM menerima sebanyak 14,442 permohonan untuk kemasukan kali ini dan dari jumlah tersebut seramai 1,867 calon memilih USIM sebagai pilihan pertama dan hanya 1360 berjaya ditawarkan melanjutkan pengajian ke lima Program Tamhidi. 

Lima program tersebut adalah Tamhidi Sains dan Teknologi, Tamhidi Perakaunan dan Muamalat, Tamhidi Syariah dan Undang-undang, Tamhidi Perubatan dan Tamhidi Pergigian.

Pengarah Pusat Tamhidi USIM, Prof. Madya Dr. Asmaddy Haris berkata, proses pendaftaran kali ini berlangsung dalam suasana yang teratur dan lancar dengan bantuan daripada pengurusan dan urus setia bagi memastikan sebarang keperluan atau informasi dapat disalurkan dengan tepat kepada ibu bapa dan pelajar mendaftar. 

“Menarik bagi pendaftaran kali ini kita turut menerima pelajar sulung antarabangsa untuk Program Tamhidi Perubatan iaitu Nusaiba Abu Abul Khair dari Australia dan kita sentiasa bersedia membuat penambahbaikan lagi di masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, USIM turut menerima dua orang pelajar tempatan yang memasuki Tamhidi melalui saluran peperiksaan O-Level, tidak melalui keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) seperti kebiasaan.

Faridatul Najah Abdul Aziz, bekas pelajar sekolah harian dari SMK Batu Sepuluh, Lekir, Perak memilih Tamhidi Syariah dan Undang-undang bagi meneruskan pengajian dalam bidang agama dan memilih Tamhidi kerana tertarik dengan visi USIM.

"Meletakkan elemen integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang mengangkat agama Islam dalam pengajiannya sesuatu yang amat sesuai dengan jiwa saya. 

“Setiap kali membaca akhbar dan ada berita tentang USIM, ia lebih menguatkan lagi hasrat saya untuk menyambung pengajian Tamhidi dan keluarga turut menyokong keinginan saya ini, Alhamdulillah," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Ammar Ishak, bekas pelajar Maktab Mahmud Alor Setar, Kedah memilih USIM sebagai pilihan pertama kerana mendapat galakan dari keluarga terutama kakaknya yang turut menyambung pengajian di sini. 

Impiannya besar iaitu ingin menjadi Akauntan Islam untuk memberi nafas baharu dalam mengurus dan menjaga kekayaan umat Islam pada masa hadapan.

"Kakak juga sentiasa memberikan gambaran yang baik tentang USIM dari segi pensyarah, persekitaran pembelajaran dan kemudahan-kemudahan yang disediakan. 

“Oleh itu, saya tanpa ragu-ragu memilih USIM sebagai pilihan pertama semasa membuat permohonan tempoh hari," tambahnya. – UTUSAN ONLINE