Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Perdana Men­teri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Persidangan Komuniti Keusahawanan Global (GECommunity) 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

USIM muncul juara bagi kategori Penglibatan Industri Terbaik, manakala Politeknik Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah (PSSAAS) menjuarai kategori Penyedia Penyelesaian Terbaik.

Anugerah PPRN yang julung kali diperkenalkan itu merupakan pengiktirafan Kementerian Pendidikan Tinggi kepada institusi pengajian negara yang menca­tatkan pencapaian terbaik dalam program PPRN .

Inisiatif berkenaan bertujuan mewujudkan jalinan kerjasama antara pihak industri dan usahawan dengan institusi pengajian tinggi di seluruh negara dalam mencari penyelesaian berhubung permasalahan berkaitan industri.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, PPRN sehingga kini telah mewujudkan kerjasama melibatkan 495 syarikat dan 507 kumpulan penyelidik di 26 institusi pengajian tinggi sejak dilancarkan pada 24 Februari 2015.

“Inisiatif PPRN adalah untuk membangunkan penyelesaian ino­­vatif kepada permasalahan me­lalui projek penyelidikan berasaskan permintaan daripada pihak industri dengan pelaksanaan kos yang efektif.

“Sehingga kini program ini te­lah menyelesaikan kira-kira 700 permasalahan yang dikemukakan oleh pihak industri,” katanya.

Idris berkata, pemilihan pemenang Anugerah PPRN dilakukan oleh juri profesional yang mempunyai latar belakang akademik dan industri berdasarkan kriteria dan prestasi pelaksanaan projek PPRN.