Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, menjadi tanggungjawab USIM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang menempatkan ramai golo­ngan belia untuk memperkasakan pencegahan yang strategik dan pemulihan holistik.

“Seminar kali ke-12 anjuran USIM ini melibatkan hampir 400 peserta yang terdiri daripada pelajar, kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) serta beberapa agensi berkaitan.

“Secara amnya, seminar ini memberi fokus terhadap pemerkasaan pencegahan dadah dalam komuniti selain menyediakan beberapa pendekatan utama bagi membanteras penyalahgunaannya,” katanya ketika merasmikan seminar tersebut, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Musa berkata, seminar tiga hari bermula semalam yang bertemakan ‘Komuniti Kita Tanggungjawab Kita’ itu turut melibatkan akti­viti luar menerusi ‘Empowering Youth for Drug Free Community’ (EYDFC) dalam kalangan komuniti setempat.

Aktiviti EYDFC akan melibatkan pelajar dan guru dari beberapa buah sekolah sekitar Nilai, Pusat Keusahawanan Pelajar USIM, Kolej Universiti KPJ serta pelatih Pondok Inabah di Labu.

Dalam majlis sama, Musa turut melancarkan buku Panduan Pelaksanaan Kaunseling Intervensi Murid di Sekolah khusus kepada guru bagi membantu keberkesanan program intervensi pemulihan dadah dalam kalangan murid di sekolah.