Penawaran program demikian adalah sejajar dengan kehendak Kementerian Pendidikan yang mahu majoriti guru di negara ini sekurang-kurangnya memiliki ijazah sarjana menjelang tahun 2030.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Mohamad Shatar Sabran berkata, UPSI mengambil langkah proaktif menzahirkan hasrat kementerian itu dengan menyediakan tempat kepada guru-guru di seluruh negara yang mahu melanjutkan pengajian.

"Bagi menjimatkan tempoh pengajian, UPSI menawarkan beberapa insentif untuk kalangan guru seperti menawarkan program Smart Master dan Smart PhD yang lebih efisyen dari aspek penjimatan masa pengajian yang sekali gus menjimatkan pembiayaan kewangan guru.

"Menerusi program itu, pelajar Doktor Falsafah dapat menamatkan pengajian selama dua tahun berbanding empat tahun namakala sarjana selama hanya setahun berbanding dua tahun," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Shatar berkata demikian mengulas sasaran kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang mahu melihat 60,000 orang termasuk mahasiswa dan guru di seluruh negara untuk memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) menjelang 2023, manakala majoriti guru sekurang-kurangnya memiliki ijazah sarjana menjelang 2030.

Mengulas lanjut tentang program Smart Master dan Smart PhD, pelajar akan sentiasa dipantau melalui kerjasama antara pelajar dan penyelia tesis secara terperinci bagi memastikan tesis dapat disiapkan dalam jangka masa yang ditetapkan.

“Kos pengajian pascasiswazah tetap sama tetapi tempoh pengajian lebih cepat sekali gus dapat menjimatkan kos yang perlu ditanggung sekiranya tempoh pengajian lebih lama.

"Selain merupakan universiti yang menawarkan pengajian pascasiswazah yang berpatutan dan perlu direbut oleh para guru yang mahu melanjutkan pengajian, UPSI juga bersedia menyediakan latihan dalaman di setiap zon," katanya.

Tambah Mohamad Shatar, para pelajar boleh untuk tidak datang ke Tanjung Malim sehingga terpaksa menyewa hotel kerana UPSI akan mengenal pasti lokasi guru-guru yang akan diselia berdasarkan zon yang dilaporkan. - UTUSAN ONLINE