TANJUNG MALIM 20 Nov. - Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memenangi dua Anugerah Emas dalam festival koir antarabangsa The 16th International Malaysia Choral Eisteddfod 2018 baru-baru ini.
Pertandingan yang diadakan di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) melibatkan seramai 43 pelajar dari FMSP yang dibimbing oleh Amri Zin dan mereka memenangi Kategori C Mixed Youth Gold Gred C dan Kategori C Mixed Youth Gold Gred C.
Pertandingan turut disertai oleh peserta dari beberapa buah negara antaranya Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.
Sementara itu, Dekan FMSP UPSI, Prof. Madya Zaharul Lailiddin Saidon berkata, penyertaan pelajar dalam festival tersebut memberikan pengalaman pembelajaran luar bilik kuliah yang baik dan berkesan.
Menurutnya, ia merupakan satu penanda aras pencapaian mereka di peringkat antarabangsa.
“Usaha menghantar pelajar menyertai festival dan pertandingan sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa merupakan sebahagian daripada tindakan yang dipersetujui dalam perancangan pelan strategik hala tuju fakulti.
“Pasti ada ciri-ciri yang berlainan oleh kumpulan koir berlainan khususnya kumpulan koir dari luar negara termasuk Thailand dan Indonesia dan ini akan memberi pendedahan nilai tambah yang bermakna kepada pelajar fakulti ini,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya berbangga kerana usaha gigih tenaga pengajar dan pelajar unit vokal untuk mencapai sasaran ditetapkan bagi memperoleh pengiktirafan di peringkat antarabangsa tercapai dalam waktu lebih singkat daripada yang dirancang.
“Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI akan terus meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran melalui aktiviti-aktiviti nilai tambah seperti penyertaan dalam festival ini sebagai sebahagian daripada strategi untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan efektif untuk pelajar selaras dengan visi UPSI sebagai universiti pendidikan nombor satu,” katanya.