Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, pihaknya tidak pernah menghalang sebarang penglibatan pihak luar ke dalam universiti khusus untuk bumiputera itu selagi tidak mendatangkan kemudaratan kepada warganya.

“Kita mengalu-alukan saranan Menteri Pendidikan agar UiTM membuka ruang untuk pihak luar mengadakan program debat, forum atau wacana yang dianjurkan mahasiswa.

“Namun kita mengambil sikap berhati-hati atas faktor keselamatan pelajar-pelajar kita dalam soal ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rewang Ramadan Memasak Bubur Lambuk di Bangunan Canselori di sini, hari ini.

Hassan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan baru-baru ini yang menggesa semua universiti awam membuka akses masuk untuk masyarakat luar sebagaimana amalan institusi pengajian tinggi terkemuka dunia seperti Harvard, Oxford dan Cambridge.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, naib-naib canselor dan timbalan-timbalan juga dikehendaki tidak menghalang sebarang bentuk program debat, forum atau wacana yang dianjurkan mahasiswa.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, pihaknya tidak mahu elemen negatif seperti Daesh, menyusup masuk ke dalam 35 kampus UiTM di seluruh negara, kerana pihaknya pernah menghadapi kes sedemikian tahun lalu apabila ada bekas pelajarnya yang dikesan terlibat dengan ideologi kumpulan tersebut.

“Kita sebagai universiti yang mempunyai hampir 700,000 alumni yang kini berada di segenap pelosok negara, mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan kaum bumiputera terus mendapat pendidikan sewajarnya, selaras akta sedia ada.

“Sebagai sebuah universiti untuk bumiputera, setiap perkara negatif akan memberi kesan kepada kita. Justeru kita mengalu-alukan sebarang program yang menyuburkan minda intelek dan menolak elemen negatif di sebalik keterbukaan tersebut,“ katanya. - UTUSAN ONLINE