Pertubuhan Alumni GPMS Kebangsaan (ALUMNI GPMS) yang mengalu-alukannya usaha melahirkan lebih ramai golongan huffaz yang turut menguasai bidang-bidang profesional itu menyifatkan BN benar-benar serius apabila ia turut ditunjangi dengan langkah untuk mengukuhkan perkembangan institusi tahfiz termasuk dengan sistem latihan kemahiran Giat Mara.

Presidennya, Syed Anuar Syed Mohamad ketika mengulas kandungan manifesto yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin menegaskan usaha itu yang dapat meninggikan syiar Islam tidak harus dipersoalkan oleh sesiapa malah harus diraikan.

“Manifesto menyentuh aspek pendidikan yang bersesuaian dengan masa depan itu memperlihatkan kesungguhan kerajaan melahirkan generasi TN50 yang bukan saja dapat menguasai pelbagai kepakaran tetapi juga dalam ilmu al-Quran untuk diamalkan dalam segenap persoalan kehidupan,” ujarnya di sini hari ini.

Katanya, manifesto BN secara keseluruhannya masih meletakkan sektor pendidikan di tahap tertinggi dengan penekanan untuk merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar.

“Perkara ini amat penting kerana kerajaan tidak mahu menjelang tahun 2050, pelajar luar bandar masih jauh terkebelakang. Peruntukan RM12 juta untuk program pendidikan khas luar bandar yang melibatkan 615,000 orang pelajar melambangkan keseriusan kerajaan,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar penekanan khas pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan agar dapat disampaikan kepada pelbagai dengan lebih berkesan.

“Walaupun hanya subjek elektif dan bukannya teras, namun guru-guru sepatutnya diberikan pendedahan/kursus khas kerana ia menyentuh pelbagai aspek termasuk pewujudan perpaduan dan toleransi di antara kaum di Malaysia yang semakin tercabar kini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE