Dalam Majlis Apresiasi Seni dan Warisan UniSZA 2017 di sini, anugerah Pesona Tempa Nusa diberikan kepada pengusaha tembaga, Wan Mahadi Wan Ismail manakala Zaharah Hamid, seorang penari tradisional menerima Pesona Temurun Warisan Tari di samping pengukir batu permata, Johan Mustafa menerima anugerah Pesona Seri Jemari.

Penggiat rodat, Razak Senik pula menerima Pesona Libur Rakyat, dan penyanyi asal lagu 'Ulek Mayang', Wan Salmah Wan Sulaiman diangkat sebagai penerima Anugerah Pesona Temurun Warisan Nyanyi manakala penggubah lagu rakyat, Mohamed Zamani Taha menerima Anugerah Pesona Aksara Qalbu.

Pengarah Pusat Seni dan Warisan UniSZA, Prof. Madya Sahar Sa'di Hashim berkata, seramai enam tokoh yang berbeza latar belakang dalam bidang kesenian dipilih untuk menerima penghargaan tersebut.

"Setiap yang dipilih untuk menerima penghargaan ini mempunyai kehebatan dan kelebihan masing-masing.

"Jika diteliti, hasil-hasil karya penerima anugerah ini pernah diangkat sehingga ke peringkat antarabangsa pada satu ketika dahulu dan tidak dapat dinafikan Terengganu merupakan sebuah negeri yang sering dirujuk oleh pelbagai golongan untuk mendalami keaslian seni warisannya," katanya.

 Majlis Apresiasi  dan Warisan UniSZA: Akar Rasa 1.0  dikelolakan oleh kumpulan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) sebagai satu tanggungjawab sosial korporat kepada penggiat seni.-UTUSAN ONLINE