Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung merangkap Naib Presiden bagi Sains dan Teknologi di INIC, Prof Saeed Sarkar dalam satu majlis mengadap yang diadakan di Kuala Lumpur petang semalam.


Mengiringi baginda ialah Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.


Turut hadir, Pengurus Pembangunan Pemasaran INIC, Hamzeh Ghojavand dan Pengarah Urusan Parsa Polymer Sharif dari Tehran, Saeid Zokaei.


Negara Iran terkehadapan dalam kemajuan industri teknologi nano yang mana ia bukan sekadar cukup berjaya pada tahap penyelidikan dan pembangunan, malah sudah berada di kelompok ke empat ranking dunia serta berjaya menghasilkan lebih daripada 500 produk yang sudah berada dalam pasaran termasuk dieksport. Ini dilaksanakan walaupun terdapat sekatan dan tekanan ekonomi yang hebat terhadap negara tersebut sejak sekian lamanya.


UniMAP pula walaupun masih baru, namun graduan IPTA ke-17 itu di antara 20 dalam negara ini sentiasa amat dialu-alukan oleh pihak industri.


Ini dibuktikan dengan statistik yang menunjukkan graduan UniMAP mendapat pekerjaan selepas enam bulan bergraduasi melebihi 80 peratus. Malah, bagi tahun 2017 lalu data kebolehpasaran graduan selepas enam bulan bergraduasi mencatatkan rekod iaitu 93.92 peratus. - UTUSAN ONLINE