Ia mengimbau kesinambungan zaman keagungan tamadun Islam yang melahirkan tokoh-tokoh ilmuwan perubatan dan intelektual Islam yang terkenal seperti Ibnu Sina, Al-Razi,Jabir Ibnu Hayyan, Al-Zahrawi dan Al-Kindi.

Di Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP), para pelajar berpeluang mengikuti  Program Huffaz Profesional Ulul Albab secara percuma sekali gus membolehkan mereka menerima Sijil Tahfiz Malaysia (STM) yang diiktiraf Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di akhir pengajian.

Ketika ini, terdapat 50 mahasiswa UniKL RCMP di peringkat ijazah sarjana muda, diploma serta asasi, menyertai program berkenaan yang telah diperkenalkan di kampus tersebut bermula September tahun lalu.

Koordinator programnya, Muhammad Iqbal Samadi berkata, program itu diperkenalkan setelah mendapat permintaan daripada ibu bapa dan para pelajar yang ingin meneruskan hafazan al-Quran di peringkat pengajian tinggi.

"Kebanyakan pelajar yang menyertai program ini merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab serta maahad tahfiz negeri dan persendirian yang ingin mengulangi hafazan mereka. Kumpulan pelajar ini sudah mempunyai asas hafazan al-Quran.

"Namun, terdapat juga kumpulan pelajar yang kita terima berdasarkan minat yang tinggi dalam hafazan al-Quran. Untuk kumpulan pelajar ini, mereka perlu lulus ujian kelayakan hafazan yang merangkumi penilaian dari segi bacaan, makhraj, tajwid serta kekuatan ingatannya," katanya kepada Utusan Malaysia.

Program Ulul Albab di UniKL RCMP memperuntukan masa 10 jam seminggu (Isnin hingga Jumaat) yang dijalankan selama dua jam sehari iaitu sejam selepas solat Subuh (pukul 7 pagi) dan sejam selepas solat Maghrib (pukul 8.00 malam) di Pusat Islam Al-Falah selain di bilik kuliah.  

Ia dikendalikan oleh dua tenaga pengajar yang berkelulusan Darul Quran JAKIM iaitu Ustaz Hafizur Rahman Mohd Suhimi dan Ustaz Muhammad Asyraf Saifuddin dengan pengisian tambahan seperti ilmu tajwid, fekah, hadis dan tafsir.

Dalam pada itu, Muhammad Iqbal berkata, pihaknya menyasarkan setiap pelajar dapat menghafaz 10 juzuk setahun dengan setiap semester akan diadakan peperiksaan shafawi (ujian lisan).

Menurut beliau, penganugerahan Sijil Tahfiz Malaysia di akhir pengajian pula adalah mengikut standard yang ditetapkan oleh Darul Quran Jakim dengan para pelajar turut dikehendaki menduduki peperiksaan Tahriri (bertulis) selain Shafawi (ujian lisan).

"Matlamat program Ulul Albab ini pada akhirnya untuk melahirkan golongan huffaz profesional yang bukan sahaja memiliki kelayakan dalam bidang akademik, tetapi juga ilmu agama.

"Pendidikan hari ini lebih banyak tertumpu ke arah bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), jadi program Ulul Albab ini dapat memberikan satu kelebihan buat graduan UniKL RCMP,"katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut berhasrat untuk melahirkan generasi muda yang membudayakan al-Quran serta memiliki personaliti hebat dengan didikan rohani sekaligus membentuk akhlak terpuji dengan sifat ihsan sesama manusia.

Muhammad Iqbal memberitahu, idea penubuhan program Ulul Albab juga tercetus hasil permintaan daripada bekas Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad yang mahukan institusi pengajian di bawah agensi tersebut memperkenalkan program seumpama itu.

Sehubungan itu katanya, bermula tahun 2016, ia telah diperkenalkan di empat buah kampus UniKL iaitu Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC) di Johor, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical & Bioengineering Technology (UniKL MICET) di Melaka, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) di Sepang dan Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI) di Bangi.

Beliau berkata, pada tahun 2017, selain UniKL RCMP, program Ulul Albab diperluas kepada tiga lagi kampus iaitu Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) di Lumut, Universiti Kuala Lumpur Malaysia Spanish Institute (UniKL MSI) di Kulim dan Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) di Gombak.

"Selain mempunyai kerjasama dengan Darul Quran, kita juga melatih pelajar program Ulul Albab ini dengan aktiviti sampingan seperti melatih mereka untuk menjadi imam tarawih di masjid. Mereka juga terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat seperti Kem Ibadah 1.0 dan 2.0 bersama komuniti orang asli yang telah berlangsung di SMK Bawong, Sungai Siput, Perak.

"Pada bulan Februari lalu, walaupun kita baru lagi memulakan program ini, kita telah menghantar wakil ke pertandingan hafazan dalam Musabaqah ITQAN Institute for Quranic Education di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan alhamdulillah, pelajar kita (Mohamad Mustaqir Ahmad Roslan) mendapat tempat ketiga bagi kategori hafazan satu juzuk," katanya.

Sementara itu, seorang pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan UniKL RCMP, Nur Syifa' Muhammad Khairin berkata, dia berminat untuk menyertai program Ulul Albab kerana ingin menjaga hafazan al-Qurannya.

Nur Syifa' berkata, sebelum ini dia telah berjaya menghafaz al-Quran ketika mengikuti pendidikan tingkatan satu hingga tiga di sekolah tahfiz swasta iaitu Institut Quran Kuala Lumpur (IQKL).

"Apabila masuk tingkatan empat dan lima, saya mengulang balik hafazan al- Quran. Bukan semua universiti menawarkan program sebegini, jadi, apabila UniKL RCMP menawarkan program Ulul Albab, saya terus berminat menyertainya kerana ia merupakan satu peluang keemasan," katanya.

Mana-mana pihak yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan program Ulul Albab di UniKL RCMP, boleh menghubungi Muhammad Iqbal di talian 05-2432635 (ext 194) atau e-mail [email protected] - UTUSAN ONLINE