Sejajar dengan itu, kerajaan mengambil langkah memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk semua lapisan masyarakat khususnya golongan muda yang bakal memacu dan meneruskan kegemilangan negara ini pada masa akan datang.

TVET diyakini berupaya menjadi agen perubahan dalam me­ningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan serta ekonomi negara. Malah, TVET juga mampu melahirkan tenaga kerja tempatan yang diperlukan oleh industri dan negara bagi mengharungi Revolusi Perindustrian 4.0.

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) adalah antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang memperjuangkan pendekatan TVET dalam setiap program kelolaannya.

Malah, universiti itu telah membuktikan kepada masyarakat bahawa program-program ber­konsepkan TVET bukanlah pilihan kedua sebaliknya mampu menjanjikan peluang atau laluan yang lebih besar kepada pelajar.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud berkata, pelajar-pelajar yang mempu­nyai pendidikan kemahiran kini boleh meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekali gus membolehkan mereka bergelar pekerja berkemahiran tinggi pada masa akan datang.

“Apabila melangkah ke peringkat lebih tinggi atau dikenali sebagai Pendidikan Tinggi Latihan dan Vokasional (HTVET), pelajar tidak hanya diterapkan dengan ilmu kemahiran, tetapi perlu didedahkan dengan teori di sebalik kemahiran tersebut.

“Adunan antara aplikasi kemahiran dan teori itu membolehkan pelajar lebih cemerlang dalam kemahirannya dan lebih penting mereka akan memahami ilmu itu secara lebih menyeluruh,” katanya.

UniKL adalah satu-satunya universiti swasta dalam kalangan lima IPT di negara ini yang menawarkan pendidikan dan latihan teknikal berasaskan kemahiran.

Bagaimanapun kata Mazliham, UniKL kekal berbeza daripada IPT yang lain kerana lebih banyak menawarkan program teknologi kejuruteraan serta mempunyai program yang lebih khusus dalam pelbagai bidang seperti aviasi, automotif, perkapalan dan terkini teknologi rel yang dibangunkan selaras dengan kemajuan industri rel di Malaysia.

Beliau berkata, semua program di UniKL diterapkan dengan ilmu teori dan aplikasi praktikal melalui pendekatan hands-on, termasuk program perniagaan yang mana pelajar tidak hanya perlu memahami teori, tetapi juga perlu tahu bagaimana mengaplikasikan teori tersebut dalam pekerjaan atau permasalahan yang timbul.

“Sebenarnya, konsep HTVET dengan pendekatan hands-on itu telah diperkenalkan UniKL sejak penubuhannya pada tahun 2002, bermula di peringkat diploma dan kemudiannya diteruskan di semua peringkat iaitu ijazah, sarjana dan Doktor Falsafah (PhD),” jelasnya.

Dalam pada itu kata Mazliham, dalam melaksanakan HTVET, UniKL berhadapan dengan cabaran besar khususnya bagi memastikan peralatan yang terdapat di universiti itu selari de­ngan keperluan industri.

Katanya, memandangkan tek­nologi berkembang dengan pantas, peralatan di makmal atau bengkel perlu sentiasa dikemaskini agar ia sama seperti yang terdapat di industri.

“Mungkin sukar untuk kami menyamai 100 peratus seperti dalam industri, tetapi kami pastikan perbezaannya tidak terlalu jauh kerana tidak mahu pelajar yang dilahirkan oleh UniKL tidak mengetahui langsung perkembangan atau peralatan terkini itu,” katanya.

Selain itu katanya, pensyarah di UniKL juga mesti mempunyai pengalaman industri agar mereka boleh berkongsi pengalaman dengan pelajar. Namun, bukan mudah untuk mendapatkan pensyarah yang bukan hanya mempunyai pengalaman industri dan berkelayakan dari segi akademik untuk mengajar di universiti.

Oleh itu katanya, UniKL mempunyai pensyarah sambilan atau pensyarah jemputan daripada industri dan mereka dibawa khas untuk mengajar bagi memastikan pengetahuan yang diperoleh oleh pelajar sama seperti yang dipraktikkan dalam industri.

“Pensyarah tetap di UniKL juga banyak yang datangnya daripada industri. Namun, untuk memastikan pengetahuan mereka relevan dengan industri, pihak universiti membenarkan pensyarah kembali semula ke industri dalam tempoh tertentu supaya pengetahuan dan kemahiran yang mereka ada tidak ketinggalan zaman,” katanya.

Sementara itu katanya, ca­bar­an lain yang dihadapi adalah meyakinkan masyarakat untuk memilih program HTVET kerana kebanyakan generasi muda kini lebih berminat dengan program bukan teknikal.

Beliau berkata, rata-rata pelajar lebih berminat memilih program perniagaan, teknologi maklumat dan multimedia berbanding program yang menjurus kepada kemahiran seperti kimpalan.

“Mungkin, generasi muda le­­bih berminat untuk bekerja dalam persekitaran yang selesa berban­ding kerja-kerja teknikal yang tentunya lebih banyak di lapangan berbanding pejabat.

“Namun, hakikatnya peluang pekerjaan untuk program-program HTVET atau mereka yang berkemahiran tinggi ini cukup luas, malah ada yang ditawarkan bekerja luar daripada bidang yang dipelajari di UniKL,” jelasnya.

Beliau berkata, graduan UniKL tidak menghadapi masalah untuk mencari pekerjaan kerana selain dibekalkan dengan kemahiran, mereka turut diterapkan dengan ‘aura keunikan’ bagi memastikan graduan boleh menjadi pekerja dan usahawan cemerlang serta pemimpin yang baik.

Jelasnya, program pendidikan yang ditawarkan di UniKL bukan setakat relevan dengan industri, tetapi lebih seimbang apabila turut menerapkan nilai-nilai ketrampilan diri dan gaya hidup yang tinggi supaya mereka menjadi graduan serba boleh dan insan yang sempurna.

Katanya, UniKL membangunkan sistem Graduate Higher Order Critical Skills (GHOCS) bagi membantu melahirkan graduan cemerlang yang holistik merangkumi pembentukan karektor dari segi fizikal, emosi, rohani, intelek, kerjaya dan sosial.

“Ini bagi memastikan setiap mahasiswa yang dilahirkan oleh UniKL telah dibekalkan dengan semua kemahiran yang dapat membantu mereka membina kerjaya kelak,” katanya.