Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Multimedia (Kepujian) Reka Bentuk Multimedia Interaktif, UniKL Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) itu mengakui UniKL berbeza dengan universiti lain ke­­rana menyediakan sistem pem­belajaran secara hands-on ser­ta satu dengan satu.

Selain itu kemudahan yang disediakan juga dilihat selari dengan perkembangan teknologi semasa serta membantu pem­belajaran mereka terutama dalam bidang animasi dan multimedia.

Jelas anak kelahiran Kelantan itu, perisian yang digunakan dalam pembelajaran di kampus UniKL MIIT juga mesra pengguna serta membantu pelajar untuk lebih mudah menerima apa yang diajar oleh pensyarah.

Pendapat itu diakui rakannya, Nur Firdaus Ashraaf Mohd. Nor Kafli yang mengambil jurusan Reka Bentuk Multimedia Interaktif yang mengakui mereka mendapat lebih daripada apa yang diajar di dalam kelas kerana boleh meneroka ilmu baharu menerusi kemudahan yang ada di kampus itu di Kuala Lumpur.

“Komitmen yang ditunjukkan oleh pensyarah juga membuatkan pelajar lebih rapat ser­ta banyak projek yang dihasilkan dengan sokongan pensyarah yang berjaya memasuki pertandingan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Malah UniKL menyediakan pelajar yang bukan sahaja mampu berfikir secara kritis malah memiliki kemahiran berfikir menerusi pengalaman dan pengamatan yang amat dititik beratkan ke arah kecemerla­ngan mereka,” katanya.

Sementara itu bagi pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektronik Gunaan) di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) di Kulim, Kedah, Mohamad Afiq Aiman Che Mohd. Zulkarnain, suasana persekitaran yang kondusif di kampus itu mampu menyediakan pelajar yang cemerlang fizikal dan mental.

“Di sini kami diberi peluang oleh pensyarah untuk menganjurkan program-program sama ada di peringkat dalaman atau turun kepada masyarakat bukan sahaja di sekitar Kulim malah sehingga ke Pulau Pinang, Terengganu dan Perak,” katanya.