Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kumpulan UMW, Muzafar Munzir berkata, pihaknya mendapati modul pembelajaran dan motivasi yang disediakan menerusi kerjasama Utusan Malaysia sejak 2013 di bawah kendalian Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain memberi impak positif terhadap pemahaman pelajar.

“Berdasarkan keya­kinan dan kepercayaan yang terjalin ini mendorong UMW untuk meneruskan program yang sama pada masa akan datang,” katanya dalam majlis penutup bengkel itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Unit Pengurusan Akademik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Peta­ling Perdana, Mohamed Fahim Jamili, Pengetua SMK Seksyen 18, Siti Khadijah Awang Seman dan Penolong Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Azmy Mohamed.

Selama tiga hari, 116 pelajar tingkatan 5 terpilih dari 15 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana diberi suntikan motivasi bagi meningkatkan aras keyakinan diri dan teknik menjawab soalan yang menepati skema pemarkahan.

Antara sekolah yang terpilih menyertai bengkel ini termasuklah SMK Alam Megah 2, SMK Seksyen 9, SMK Seksyen 11, SMK Seksyen 24(2), SMK Seksyen 27, SMK Subang, SMK Taman Sri Muda, SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, SMK TTDI Jaya, SMK SS 17 Subang dan SMK Setia Alam.

Sementara itu, Mohamed Fahim memuji komitmen berterusan pihak UMW dalam membantu memberi dorongan kepada pelajar sebelum menduduki pe­periksaan SPM.

“Komitmen yang tinggi ditunjukkan pihak UMW amat dihargai justeru pelajar perlu meneruskan usaha dan melengkapkan persiapan menduduki peperiksaan sehingga saat akhir terutama dalam membuat latih tubi,” ujarnya.