Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, jaringan kerjasama tersebut merupakan platform terbaik untuk membangunkan pelbagai kaedah dan pendekatan dalam penyelidikan terutama membabitkan teknologi nano semikonduktor di samping bidang berkaitan mengikut keperluan industri.

Katanya, perkongsian dengan MIMOS selaku agensi pelopor bidang berkenaan diyakini dapat merealisasikan visi universiti itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Saya berbangga kerana pihak MIMOS juga akan menyediakan penempatan industri untuk penuntut program Fizik.

“Latihan berkenaan bakal ditawarkan pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Simposium Antarabangsa Fundamentum Sains yang disempurnakan oleh Ahli Akademi Sains Malaysia, Profesor Ulung Datuk Dr. Looi Lai Meng dan Majlis menandatangani MoU antara UMT dengan MIMOS di sini hari ini.

Nor Aieni menandatangani MoU tersebut mewakili UMT manakala MIMOS diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Rizan Ibrahim.

Yang hadir sama, Dekan Pusat Pengajian Sains Asas, Prof. Dr. Aziz Ahmad dan Naib Presiden dan Pengarah Urusan MIMOS, Wan Azli Wan Ismail.

Sementara itu, Ahmad Rizan berkata, MIMOS terlibat dalam pelbagai bidang kajian dan penyelidikan (R&D) dan kerjasama terbaharu dengan UMT itu secara tidak langsung dapat memberi nilai tambah kepada kedua-dua organisasi.

Terdahulu, Simposium Antarabangsa Fundamentum Sains yang julung kali diadakan dengan menghimpunkan kira-kira 100 peserta itu bertujuan melonjakkan kepentingan bidang sains asas yang merupakan tunjang kepada penyelidikan aplikasi lain. - UTUSAN ONLINE