Majlis pemeteraian tersebut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMK, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar dan Dekan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi UMK, Prof. Datuk Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz.

Dalam majlis itu, UMK diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohd. Rafi Yaacob manakala, Universiti Seoul diwakili oleh Pensyarah Kejuruteraan Alam Sekitar, Prof. Dr. Hyunook Kim.

Menurut Ibrahim, MoU itu merupakan inisiatif daripada Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi UMK yang boleh berkongsi kepakaran dengan universiti berkenaan khusus bagi melaksanakan kajian berkaitan kebersihan air dan sisa buangan pepejal di negara ini.

“Kerjasama ini sangat penting kerana kajian yang akan dilaksanakan berkaitan dengan isu alam sekitar yang mana sangat bertepatan dengan pemilihan Universiti Seoul sendiri.

“Ini kerana, universiti berkenaan sangat terulung dalam bidang pemeliharaan alam sekitar khususnya melibatkan sungai-sungai di kawasan bandar dan UMK sendiri akan memberi fokus kepada permasalahan sungai di bandar dan di kawasan kampung,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemeteraian MoU berkenaan, di sini hari ini.

Menerusi Mou itu, Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi UMK menerima geran tajaan daripada Universiti Seoul sebanyak RM34,000. – UTUSAN ONLINE