Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, universiti itu harus bangkit dan tidak perlu segan silu dalam menyuarakan ilmu serta latihan berkaitan kebudayaan.

Katanya, langkah itu wajar dilakukan memandangkan nege­ri ini dianggap sebagai serambi budaya utama.

“Ini adalah permulaan de­ngan kita menyumbang sebanyak RM100,000 kepada UMK sebagai suntikan awal. Ini menunjukkan kita turut sama membantu rakan-rakan di sini.

“Saya akan cuba mendukung lagi dana ini agar UMK dapat menjadi universiti budaya,” katanya kepada pemberita selepas program Ramah Mesra Penggiat Seni Budaya Kelantan di UMK Kampus Kota di sini hari ini.

Pada program itu, Rais turut mengadakan sesi dialog bersama kira-kira 80 penggiat seni Kelantan dalam usaha memperkasa budaya dan warisan negeri.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof. Datuk Abd. Aziz Ab. Latif berkata, program itu akan membantu merapatkan hubungan antara UMK dengan penggiat seni daripada pelbagai bidang seni di negeri ini.

“Pertemuan seperti ini sangat penting supaya budaya dan kesenian di negeri ini terus hidup dan berkembang.

“Selain itu, penggiat seni ini juga boleh membantu memberi input kepada pelajar dan pensyarah untuk membuat kajian mahupun proses pembelajaran,” katanya.

Beliau yakin pemberian dana sebanyak RM100,000 kepada UMK adalah sesuatu yang bermakna dan bakal menjadi pemangkin kepada perkembangan sosiobudaya.