Program yang berlangsung sempena pameran ‘Exhibition And Asessment Day’ kali ke-13 itu meraikan seramai 480 penuntut tahun akhir.

Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar turut menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik dan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Husaini berkata, pemerkasaan warisan menerusi teknologi krea­tif dan keusahawanan amat bersesuaian dengan aspirasi negara dan matlamat universiti ber­kenaan.

“Melalui dua program iaitu program Teknologi Kreatif dan program Pengajian Warisan yang bergerak seiring dalam usaha mengangkat kedua-dua bidang berkenaan melalui gerak kerja pendidikan dan penyelidikan keusahawanan.

“Bagi memastikan perkara ini dapat dilaksanakan dengan le­bih berkesan, pihak fakulti telah melaksanakan ‘Student Start Up Company’ menerusi ‘Centre of Acceleration’ (CAC) yang berpera­nan membimbing dan melatih penuntut terlibat untuk mewujudkan syarikat sendiri dengan mengangkat industri kreatif sebagai bidang yang mampu menyediakan peluang pekerjaan selepas bergelar graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis berke­naan, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Husaini berkata, menerusi inisiatif berke­naan beberapa syarikat terbabit berjaya mewujudkan pekerjaan dalam bidang industri kreatif sehingga diiktiraf di pe­ringkat nasional.

“Menerusi pewujudan ‘Student Start Up Company’, fakulti berkenaan telah berjaya menjana pendapatan mencecah RM30,453,25 sehingga Jun 2018 melalui 150 buah syarikat milik penuntut UMK.

“Pihak pengurusan UMK berharap perkembangan ini dapat membantu dalam mengurangkan kebergantungan graduan kepada pasaran pekerjaan yang amat tinggi persaingannya de­ngan mengambil langkah pro­aktif menjana sendiri peluang pekerjaan berasaskan jurusan yang dipelajari di UMK,” ujarnya.