Satelit nano berbentuk kiub berukuran hanya 10 sentimeter itu dibangunkan oleh dua pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrikal UiTM di Jepun iaitu Muhammad Hasif Azami dan Syazana Basyirah Mohamad Zaki hasil jalinan kerjasama dengan Kyushu Institute of Technology (KyuTech), Jepun menerusi program Joint Global Multi-Nation Birds Satellite (Birds-2).

Dua pelajar UiTM itu antara 10 pelajar yang menjadi ahli kerjasama Birds-2 yang bertanggungjawab dalam merealisasikan pelancaran yang sama dengan satelit nano Bhutan-1 dan Maya-1 yang dibangunkan oleh pelajar dari Bhutan dan Filipina.

Kejayaan pelancaran UiTMSat-1 turut meletakkan UiTM antara institusi pendidikan awam pertama di negara ini yang berjaya melancarkan satelit nano ke orbit dari ISS.

Projek tersebut bermula dengan perancangan misi satelit pada Disember 2016, diikuti dengan mereka bentuk dan membina model satelit, menguji, memasang sebagai persediaan pelancaran dan menggerakkan satelit berkenaan.

Satelit itu dilancarkan ke orbit dari ISS kira-kira 5.45 petang waktu Malaysia pada 10 Ogos lalu dan acara tersebut dipancarkan secara langsung dari Agensi Eksplorasi Angkasa Lepas Jepun (JAXA).

UiTMSat-1 dilancarkan ke ISS pada 29 Jun lalu.