Tokoh Pendidikan, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah menjelaskan, ketika ini jumlah pelajar-pelajar Melayu dan bumiputera di universiti-universiti awam dan swasta termasuk di luar negara hanya pada kadar 35 peratus.

“Bayangkan kalau kita buka UiTM untuk semua kaum, apa nak jadi? Malah di bidang-bidang kritikal dan profesional, kita masih tercorot dibandingkan dengan kaum-kaum lain.

“Jadi harapan kita dengan adanya UiTM dapatlah ditingkatkan peratus tersebut. Menerusi UiTM jugalah ramai bumiputera di Sabah dan Sarawak yang berada di pedalaman untuk turut sama berjaya menjadi golongan profesional,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tulisan rencana bekas Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar bertajuk ‘Tidak harmoni buka UiTM kepada semua kaum’ yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia semalam.

Menurut Sahol Hamid, masalah sebenar akan berlaku selepas UiTM dibuka kepada semua kaum iaitu orang Melayu bumiputera akan tidak puas hati dan keharmonian di antara kaum akan terjejas.

Sementara itu, tambah Ibrahim Shah, bagi menyelesaikan isu cadangan supaya UiTM dibuka kepada semua kaum, pelbagai pihak seharusnya kembali berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Semua pihak juga mestilah berpegang kepada kontrak sosial serta sejarah penubuhan negara kita ini. Apa sahaja yang telah dipersetujui selama ini hendaklah dipatuhi dan diambil kira,” katanya.

Beliau yang juga merupakan bekas Naib Canselor UiTM menambah, banyak faktor dan perkara yang perlu dipertimbangkan sekiranya mahu UiTM dibuka kepada semua kaum.

“UiTM tidak boleh dibuka kepada kaum lain, banyak sebab yang tidak boleh membenarkannya termasuklah faktor perundangan, sejarah, perpaduan, ekonomi dan politik.

“Ia merangkumi semua, jadi sekiranya sesiapa yang mahu membincangkan mengenai UiTM, mereka tidak harus berfikiran sempit dan tidak melihat dari satu aspek sahaja. Banyak perkara perlu dilihat termasuk dari aspek keadaan politik dan ekonomi semasa negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE