Inisiatif Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM kampus Raub itu itu turut melibatkan sumbangan kira-kira 85 buah buku cerita bahasa Melayu dan Inggeris yang diletakkan di ruang membaca berkenaan.

Penolong Rektor UiTM Kampus Raub, Dr. Khairi Khalid berkata, program berkenaan diyakini dapat memberi kesan positif kepada komuniti setempat terutama kepada murid dalam usaha menyemai budaya membaca di peringkat sekolah.

“Objektif utama program ini adalah memupuk semangat dan minat membaca murid memandangkan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa ini kurang memberangsangkan.

“Kewujudan Reading Corner di anjung kantin sekolah ini dapat memberi peluang kepada murid untuk membaca pada waktu rehat atau masa terluang yang secara tidak langsung memberi kesedaran bahawa membaca boleh dilakukan di mana-mana sahaja,” katanya dalam majlis penyerahan Reading Corner tersebut baru-baru ini.

Yang hadir sama Guru Besar SK Felda Krau 1, Maisarah Hamid; Penolong Kordinator APB, Noli Maishara Nordin dan Penyelaras Korporat UiTM Kampus Raub, Mohd. Rozaimy Ridzuan.

Menurut Khairi, program yang melibatkan kerjasama dengan sekolah berkenaan dilihat amat penting dan UiTM akan terus memperbanyakkan program seperti itu dari semasa ke semasa.

Katanya, ia juga menunjukkan UiTM Raub sentiasa berusaha membantu masyarakat setempat agar dapat menikmati kesan positif kewujudan kampus berkenaan.