Naib Canselor, Profesor Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim mewakili UiTM, NTU diwakili Profesor Cillian Ryan dan Pro Naib Canselor Antarabangsa NTU.

UiTM merupakan sebuah universiti yang mempunyai rekod kecemerlangan akademik dan penyelidikan dengan program kerjasama yang dinamik bersama pelbagai universiti luar negara.

NTU pula merupakan universiti yang mempunyai reputasi yang cemerlang ke arah memangkin pembangunan pendidikan di United Kingdom, juga banyak menjalinkan kerjasama luar negara untuk meningkatkan jalinan akademik.

Di antara objektif MoU yang diusahakan oleh Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) ini adalah untuk menguatkan, mempromosi dan membangunkan bidang akademik, kerjasama penyelidikan dan kebudayaan di antara kedua-dua universiti berasaskan kesetaraan dan faedah bersama.

Dengan termeterainya MoU ini, kedua-dua universiti ini akan mengisytiharkan niat bersama untuk persahabatan dan kerjasama, promosi bersama dalam bidang akademik, budaya, sains dan program pertukaran staf.

Antara bidang kerjasama MoU ini adalah termasuk program pertukaran di antara institusi melibatkan staf fakulti dan juga pelajar; penganjuran simposium, persidangan dan kursus pendek; menjalankan projek penyelidikan dan pembangunan bersama; dan kerjasama dalam bidang lain seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua universiti dari masa ke semasa.

Kedua-dua universiti amat mengharapkan kerjasama ini akan menjadi landasan untuk meneroka idea-idea baru dan memupuk kecemerlangan dalam penyelidikan akademik pada masa hadapan.

Kerjasama di antara institusi ini penting bagi pembangunan institusi pengajian tinggi dalam meningkatkan piawaian universiti supaya sumbangan yang lebih efektif dapat diberikan kepada pelbagai industri, bidang perniagaan dan komuniti, di dalam dan di luar negara. - UTUSAN ONLINE