Ketua Kontinjen Masum UiTM, Mohd. Fisol Daud berkata, pasukannya berjaya memungut 15 pingat emas, 11 perak dan lapan gangsa manakala pencabar terdekat, Universiti Putra Malaysia (UPM) memperoleh 15 emas, enam perak dan dua gangsa.

“Pasukan boling padang UiTM menjadi penyumbang terbanyak pingat dengan lapan emas dan satu gangsa.

“Kejayaan kontinjen UiTM dalam Sukan Masum pada kali ini menjadikan UiTM johan keseluruhan Sukan Masum 2018 dengan jumlah keseluruhan kutipan pingat 36 emas, 21 perak dan 16 gangsa diikuti UPM dengan 21 emas, sembilan perak dan empat gangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd. Fisol menambah, dalam Sukan Masum fasa 1 yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dari 15 hingga 21 Julai lalu, UiTM berjaya mengungguli kutipan pingat dengan 21 emas, 10 perak dan lapan gangsa sementara UPM enam emas, tiga perak dan dua gangsa.

Katanya lagi, kejayaan mengungguli kejohanan Sukan Masum 2018 itu adalah sokongan daripada pihak pengurusan tertinggi UiTM, latihan pusat yang berkala dan semangat juang tinggi oleh para atlet UiTM. - UTUSAN ONLINE