Penerapan tersebut termasuk melalui penyertaan mahasiswa MSU dalam program University Entrepreneurship Masterclass (UEM).

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr. Shukri Ab. Yajid berkata, program tersebut merupakan inisiatif Kementerian Kewangan dengan pelaksanaan dan kandungannya oleh StartupMalaysia.org.

“Bermula 2017, program UEM turut mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pendidikan. Menerusi bimbingan usahawan dan pakar industri dalam dan luar negara sebagai mentor dan fasilitator, para peserta didedahkan dengan aspek teoritikal dan praktikal yang diperlukan untuk membina dan membangunkan perniagaan masing-masing.

“MSU melalui Leadership & Entrepreneurship Advancement Institute (Lead) telah memainkan peranan aktif dalam menggalakkan para mahasiswanya terlibat dalam bidang keusahawanan. Antara inisiatif tersebut termasuklah penubuhan Jumpstart dengan dana permulaan bernilai RM5 juta sebagai sokongan dan pelengkap kepada ekosistem keusahawanan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Graduasi Kohort 3 dan 4 UEM di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kanan (Sektor Dasar dan Perancangan), Unit Strategi Nasional (NSU) Kementerian Kewangan, Abu Bakar Jambol; Pengarah Seksyen Ekonomi Digital dan Antarabangsa, Kementerian Pembangunan Usahawan, Arividya Arimuthu dan Pengasas Startup, Dash Dhakshinamoorthy.

Mengulas mengenai program Jumpstart, Shukri menjelaskan, ia membantu para peserta secara menyeluruh dalam ekosistem keusahawanan merangkumi aspek seperti mentoring, coaching, pendaftaran perniagaan, pemasaran, pengurusan, perakaunan dan kewangan, kemudahan inkubator, khidmat konsultansi serta jalinan perniagaan.

Menurutnya, penyertaan mahasiswa MSU dalam program UEM juga adalah inisiatif khas Lead bagi melengkapkan mereka dengan input industri yang relevan bagi perkembangan bidang keusahawanan masing-masing. - UTUSAN ONLINE