Bermula hanya sebagai sebuah sekolah latihan getah pada 1960 dengan lapan orang pelajar, kini UCAM telahpun mempunyai 3,500 pelajar yang sebahagian besarnya merupakan anak pekebun kecil dan masyarakat luar bandar.

Pada 1973, pengurusan RISDA telah mengambil alih institusi tersebut dan menamakannya sebagai Sekolah Latihan RISDA dan kemudiannya ditukar kepada Kolej RISDA pada 1999. Institusi pengajian tinggi RISDA ini terus berkembang pesat sehingga tertubuhnya UCAM pada 2014.

Kini, UCAM menawarkan 24 program meliputi empat program pengajian ijazah sarjana muda; tiga program ijazah sarjana muda eksekutif; 13 program diploma dan empat program sijil. Pada tahun ini, UCAM telah menawarkan dua program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (dengan Kepujian) dan Diploma Pembangunan Luar Bandar.

Enam, program baharu juga bakal ditawarkan seperti Ijazah Pentadbiran Perniagan; Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Teknologi Perladangan; Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Pertanian dan Diploma Kewangan dan Perbankan Islam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UCAM mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai institusi pengajian tinggi berasaskan pertanian dan perladangan.

Oleh itu, katanya, institusi ini diharap dapat terus melahirkan lebih ramai graduan yang holistik serta usahawan baharu yang berpotensi dalam pelbagai bidang yang akhirnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.

“Kejayaan mewujudkan program pengajian baharu yang dikenali dengan Diploma Pembangunan Luar Bandar adalah seiring dengan aspirasi Transformasi Luar Bandar ‘Membandarkan Luar Bandar’ oleh pihak kementerian dalam memperkasakan modal insan luar bandar.

“Program ini tentunya membolehkan pelajar membangunkan masyarakat luar bandar secara menyeluruh dari sudut ekonomi, memperbaiki kualiti hidup dan mengurus luar bandar secara lebih cekap dan mampan,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Konvokesyen UCAM Ke-15 di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Tambahnya, dengan wujud program sebegini diharapkan graduan UCAM tidak hanya mengejar peluang kerjaya di bandar besar semata-mata tetapi sanggup berkhidmat dengan masyarakat di luar bandar.

“Saya menyeru agar graduan UCAM dapat bersama-sama dengan kerajaan untuk menjalankan tanggungjawab sosial dengan mengubah pemikiran dan menaik taraf hidup masyarakat luar bandar termasuk melalui agenda keusahawanan.

“Ke arah mencapai negara maju elemen creator sudah tentu menjadi perkara penting. Oleh itu, bidang keusahawanan merupakan agenda besar yang perlu diberi perhatian oleh institusi pengajian tinggi di negara ini termasuk UCAM yang perlu memainkan peranan membantu graduannya supaya lebih berdaya saing dengan menjadi job creator dan bukannya job seeker,” katanya.

Namun, tambah Ismail Sabri, kegigihan tenaga kerja UCAM terutama para pensyarah yang telah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin tentunya dihargai sehingga UCAM kini dilihat setanding dengan institusi pengajian tinggi yang lain dalam melahirkan graduan yang berkualiti.

“Kesungguhan dan kegigihan mereka telah dapat mendidik generasi muda yang mampu menyumbang produktiviti dan daya saing untuk negara. Saya berharap tenaga kerja UCAM dapat melipat gandakan usaha untuk membolehkan UCAM terus maju dan berjaya mencipta nama dipersada pendidikan tinggi negara dan muncul sebagai institusi pengajian tinggi swasta terbaik di negara ini,” katanya.