RAZALI IBRAHIM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, negara ketika ini hanya memiliki kira-kira 28 peratus siswazah dalam bidang ber­kenaan, berban­ding ke­perluan melebihi 60 peratus.

"Dahulu TVET dianggap sebagai kelas kedua atau peluang kedua kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berjaya ke universiti sehingga menyebabkan kesan pemikirannya masih berlegar hingga ke hari ini.

"Jadi, menjadi satu cabaran untuk kita mengubah persepsi semua pihak, terutamanya ibu bapa terhadap bidang teknikal ini kerana di negara maju siswazah TVET sentiasa menjadi rebutan," katanya dalam sidang akhbar pada Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017 peringkat Parlimen Muar di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Pengerusi Felcra Education Service Sdn. Bhd., Datuk Hassan Johari dan Pengerusi Koprojaya, Mohamad Ammir Haron.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, peluang kerja dan pendapatan dalam bidang TVET juga amat luas dan tinggi terutamanya bagi sektor pekerjaan yang masih bergantung terhadap tenaga kerja asing ketika ini.

"Kemahiran mereka amat mahal. Jadi, kita berharap ibu bapa mendapatkan gambaran sebenar kerana menuntut ilmu dalam bidang ini juga mempunyai masa depan yang cerah," katanya.

Sementara itu, Sahol Hamid berkata, pihaknya turut cuba membantu ibu bapa yang hadir ke program JPB untuk memahami perkara sebenar berkaitan TVET.